SHANGHAI, 24 APRIL – Syarikat kereta gergasi Jepun, Nissan, kelmarin mengumumkan pelancaran dua buah model yang bertujuan untuk meningkatkan momentum dalam pasaran utamanya di China, di mana ia telah diatasi oleh pesaing tempatan.
Di pameran industri Auto Shanghai, syarikat itu mengumumkan pelaburan sebanyak 10 bilion yuan (AS$1.4 bilion) di China, dan berkata ia akan menambah bilangan model baharu yang dirancang untuk dilancarkan menjelang musim panas 2027 kepada 10, meningkat daripada lapan.
Ketua syarikat itu di China, Stephen Ma, berkata pada sidang media matlamatnya adalah untuk menandingi pesaing China, dan Nissan telah ketinggalan di belakang bagi menembusi pasaran dengan model baharu.
“Kami tidak berada pada momentum yang sama disebabkan jenama China adalah luar biasa dari segi kepesatan,” kata Ma.
Dengan kurang daripada 800,000 kenderaan dijual, pada tahun kewangan 2023, jualan Nissan turun sebanyak 24.1 peratus di China, pasaran kereta terkemuka dunia.
Syarikat itu bergelut dalam beberapa isu, dengan akaun yang lemah dan kegagalan penggabungan dengan Honda diburukkan lagi dengan krisis tarif yang menjejaskan pasaran terbesarnya, Amerika Syarikat (AS).
Saingan syarikat yang diperbaharui terhadap China itu dipamerkan di petaknya kelmarin, menerusi trak Frontier Pro.
Ia merupakan kenderaan hibrid plug-in pertama Nissan, dan direka untuk menarik citarasa pengguna China.
Kenderaan elektrik N7 itu dibangunkan bersama rakan tempatan Dongfeng. – AFP
