YOKOHAMA, 31 JULAI – Nissan telah menggariskan ‘pelan kemampanan’ untuk menjadi sebuah syarikat yang lebih mesra alam dan inklusif, berjanji untuk mengitar semula bateri, memperkasakan pekerjanya dan mencipta kereta yang lebih selamat.
Nissan Motor Co tidak akan berusaha mengalahkan pesaing dalam usaha itu tetapi berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, beritahu Joji Tagawa, Ketua Pegawai Kemampanan, kepada pemberita di ibu pejabat syarikat itu di Yokohama.
Nissan berhasrat untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050, yang bermaksud pelepasan karbon sifar bersih di seluruh operasi.
Kerajaan Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah semuanya telah menetapkan matlamat yang sama, begitu juga dengan pesaing Jepun, Toyota Motor Corp dan Honda Motor Co serta General Motors Co dari AS.
Di bawah pelan terkini, Nissan mengatakan bahawa menjelang 2030 ia akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) setiap kenderaan sebanyak 52 peratus dan mengurangkan pelepasan CO2 setiap pemanduan untuk model baharu sebanyak 50 peratus di Jepun, AS, Eropah dan China.
Tagawa berkata Program Sosial Nissan 2030 tertumpu kepada enam teras utama iaitu keselamatan, kualiti, sumber yang bertanggungjawab, harta intelek, komuniti dan pemerkasaan pekerja.
Syarikat itu menyokong pendidikan untuk memupuk jurutera masa depan, terutamanya dalam bidang yang agak baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat, katanya.
“Kami menyasarkan untuk menjadi sebuah syarikat yang mengutamakan rakyat,” katanya, menekankan komitmen syarikat untuk tidak bertolak ansur terhadap pencabulan hak asasi manusia dalam operasi dan rantaian bekalannya.
Pelan terbaharu itu adalah pengemaskinian Cita-Cita Nissan 2030, diumumkan pada 2021, yang tertumpu kepada pelancaran lebih banyak kenderaan elektrik. – AP