Oleh Ak Zaki Kasharan
SELAKU pengedar kenderaan jenama Nissan di negara ini, Syarikat Boustead Sdn Bhd baru-baru ini telah menguji kehebatan Nissan terbaharu, Nissan Terra dengan membuat perjalanan uji pandu kenderaan berkenaan ke Miri, Sarawak, Malaysia.
Rombongan yang terdiri daripada wartawan akhbar tempatan termasuk wartawan Media Permata dan Borneo Bulletin serta seorang pengamal media tempatan itu berpeluang untuk menguji kenderaan berkenaan sepanjang perjalanan menuju ke lokasi sehingga kembali ke tanah air pada hari berikutnya.
Di sepanjang perjalanan tersebut, Mohammad Khairul Izzat bin Abdul Hamid selaku Eksekutif Produk Boustead Sdn Bhd telah memberikan penerangan mengenai ciri-ciri teknologi yang terdapat di dalam kenderaan tersebut dan rombongan berkenaan berpeluang untuk menguji kenderaan tersebut.
Penerangan mengenai kecanggihan fungsi terkini yang terdapat pada kenderaan Nissan Terra Premium Grade digunakan untuk uji pandu sangat mengujakan yang mana ia dilengkapi dengan fungsi canggih seperti Intelligent Rear View Mirror, intelligent Around View Monitor dengan Moving Object Detection, Blind Spot Warning dan Lane Departure Warning.
Meskipun perjalanan menuju ke Miri, Sarawak dari Bilik Pameran Boustead Sdn Bhd, di Beribi mengambil masa lebih kurang dua jam, namun dengan kelebihan yang terdapat pada Nissan Terra berkenaan, seperti kecanggihan Zero-Gravity Seat yang mana dicipta khusus sesuai dengan posisi tulang belakang sekali gus memberikan keselesaan ketika mengenderainya walaupun menempuhi perjalanan yang panjang dan mengambil masa yang lama. Selain itu, kerusi Zero-Gravity Seat ini juga direka untuk melancarkan peraliran darah yang sihat yang menghasilkan lebih banyak tenaga.



Sementara itu, kecanggihan Nissan Terra ternyata memudahkan para penumpang dalam memastikan keselamatan perjalanan jauh menuju ke destinasi berjalan dengan selamat dan lancar. Antara langkah keselamatan yang perlu diambil perhatian bagi setiap pemandu yang ingin memulakan perjalanan ialah dengan memastikan tekanan keempat-empat tayar kenderaan dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan. Dengan kecanggihan Tire Pressure Monitoring System yang terdapat pada Nissan Terra tersebut ia ternyata memudahkan untuk mengetahui tekanan keempat-empat tayar.
Pada sebelah petang, rombongan telah dibawa meneroka keindahan alam yang terdapat di Miri, antaranya di Eastwood Valley Golf & Country Club. Ia memberi peluang kepada rombongan untuk menikmati keindahan suasana yang terdapat di sana sambil mengambil peluang untuk merakamkan detik berharga berkenaan dengan mengambil gambar bersama ahli rombongan dan kenderaan Nissan Terra tersebut.
Destinasi perjalanan tidak berhenti di sana sahaja, destinasi seterusnya merupakan sebuah lokasi yang bersejarah di Miri, Sarawak iaitu Canada Hills yang turut mempunyai pemandangan yang sungguh indah dengan kehidupan alam semula jadi.
Perjalanan menuju ke Canada Hills boleh dikatakan mencabar disebabkan keadaan jalan yang sempit dan curam memandangkan Canada Hills berada di puncak bukit yang membolehkan para pengunjungnya dapat melihat hampir keseluruhan Bandaraya Miri dari puncak bukitnya. Walaupun laluan ke destinasi cukup rumit, dengan menggunakan Sistem Hill Start Assistance (HSA) yang terdapat pada Nissan Terra tersebut menjadikan perjalanan lebih lancar dan mudah kerana HSA membolehkan pemandu kenderaan berkenaan untuk menukar pedal dengan mudah dari brek ke pemecut (accelerator) dan meneruskan perjalanan merentasi perjalanan menaiki bukit yang lebih selamat dan setabil.
Canada Hills merupakan salah sebuah tempat menarik di Miri kerana ia menyajikan pemandangan yang memukau sekitar Miri yang mana turut menempatkan Muzium Petroleum. Apa yang tambah menariknya di Canada Hills ini ialah kerana ia merupakan lokasi telaga minyak pertama digali oleh syarikat Shell Sarawak pada tahun 1910.
Dalam perjalanan menuju dan pulang dari Canada Hills yang curam dan sempit, kecanggihan teknologi Nissan Terra terbukti yang mana ia mempunyai ciri teknologi pemanduan Intelligent Mobility seperti Intelligent Around View Monitor (IAVM) iaitu sistem yang memberikan pemandangan menyeluruh dari segala sudut sekeliling kenderaan itu bagi memudahkan pengguna kenderaan berkenaan di kawasan-kawasan sempit.
Manakala Moving Object Detection (MOD) turut membantu dalam perjalanan tersebut bagi memantau dan memberikan amaran mengenai benda atau orang yang bergerak di mana sistem itu menggunakan kamera untuk mengesan benda yang bergerak di sekeliling kenderaan dengan memberikan isyarat visual dan audio.
Selain itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini turut menunjukkan kecanggihannya semasa menuruni jalan yang curam dengan menggunakan Sistem Hill Descent Control (HDC) yang membantu untuk mengawal pergerakan kenderaan dan mengawal kelajuan kenderaan ketika turun dari bukit.
Oleh sebab keadaan jalan raya yang sempit, Land Departure Warning banyak membantu dalam memudahkan lagi perjalanan yang mana ia bertindak bagi mengekalkan keselamatan dengan memberi amaran kepada pemandu apabila ia mengesan bahawa kereta itu telah tersasar dari lorong yang digunakan.
Secara keseluruhannya pemanduan uji pandu berkenaan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana berpeluang merasakan sendiri pengalaman mengenderai kenderaan SUV yang canggih lagi selesa di samping penampilan gah dari segala sisi sama ada pada rekaan luaran mahupun dalamannya menjadikan Nissan Terra sebagai salah sebuah kereta idaman dan pilihan terbaik bagi semua.