TOKYO, 2 SEPT – Nissan akan lebih agresif dalam mengeluarkan kereta elektrik dalam usahanya mengambil kesempatan daripada undang-undang Amerika Syarikat (AS) baharu yang memberikan sehingga AS$7,500 dalam kredit cukai, kata pembuat kereta Jepun itu hari ini.
Presiden AS, Joe Biden telah menandatangani rang undang-undang perubahan iklim dan penjagaan kesihatan sebagai undang-undang rasmi AS pada bulan lepas. Kredit cukai boleh digunakan untuk peruntukkan kos pembelian kenderaan elektrik yang dibuat di AS.
Kereta elektrik Nissan Leaf adalah antara model yang layak di bawah undang-undang baharu itu, tetapi, kenderaan itu perlu mengandungi bateri yang dibina di Amerika Utara dengan mineral yang dilombong atau dikitar semula di benua itu untuk melayakkannya.
Ketua Pegawai Kelestarian, Joji Tagawa mengakui proses kelayakan adalah rumit, sambil menekankan Nissan tidak sabar untuk mengambil kesempatan daripada undang-undang itu untuk mengurangkan kos kepada pelanggan.
“Nissan sedang dalam proses membuat analisis menyeluruh pada masa ini,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat yang diadakan dalam talian, sambil menyatakan butiran tentang apa yang Nissan mungkin lakukan namun masih belum diputuskan.
Model Tesla dan kereta elektrik Ford F Series, BMW X5 serta hibrid Jeep Wrangler adalah antara model yang akan layak untuk kredit cukai. Nissan Motor Co., yang bekerjasama dengan pembuat kereta Perancis, Renault, adalah antara yang pertama membeli semua kenderaan elektrik pelepasan sifar Leaf, yang mula dijual pada 2010. Lebih daripada 600,000 kereta elektrik Leaf telah dijual di seluruh dunia setakat ini.
Pembuat kereta utama di seluruh dunia baru-baru ini mengumumkan pelaburan untuk mempercepatkan langkah ke arah kenderaan elektrik, apabila kebimbangan semakin meningkat tentang perubahan iklim dan harga gas.
Nissan berkata, ia cuba menjadikan operasi dan produknya lebih bersih, lebih selamat dan lebih inklusif, meneliti sumber, pengeluaran dan jualan. Syarikat yang berpangkalan di Yokohama, Jepun itu akan bekerjasama dengan rakan kongsi dan kerajaan untuk mencapai matlamat tersebut, kata Tagawa. – AP