Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Para jemputan khas yang terdiri daripada pemilik-pemilik Nissan X-Trail, berpeluang untuk menyaksikan ciri-ciri terkini dan pembaharuan yang diperkenalkan bagi model terkini, generasi ke-4 Nissan X-Trail E-Power dalam Majlis Penghargaan dan Pra-tonton Nissan X-Trail yang berlangsung di Dewan Pameran Nissan, Beribi, kelmarin.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh pihak pengurusan Nissan Brunei, wakil media dan jemputan khas itu, mereka diberikan penerangan dan melihat dengan lebih dekat pembaharuan yang dibuat bagi model terkini Nissan X-Trail E-Power berkenaan.
Pengurus Pemasaran Nissan Brunei, Han Ming Kwang dalam kata alu-aluannya mengetengahkan mengenai teknologi terkini yang diperkenalkan dalam generasi ke-4 Nissan X-Trail iaitu E-Power yang akan merubah cara pemanduan para pemandu.
E-Power, jelasnya, merupakan penyelesaian bagi EV di mana orang ramai boleh menikmati pemanduan elektrik 100 peratus tanpa kerisauan untuk mencari stesen pengecasan.
Model terbaharu itu dihasratkan bagi pemanduan seisi keluarga di mana dengan E-Power, mereka boleh mengembara atau memandu ke negara jiran tanpa perlu untuk mengecas serta pada masa yang sama boleh menikmati manfaat pemanduan EV yang selesa, senyap dan bertenaga.
Ia mengintegrasikan enjin gasolin dan motor di mana enjin berkenaan hanya menghasilkan kuasa elektrik dan sistem adalah 100 peratus dijalankan oleh motor beroutput tinggi.
Nissan X-Trail terkini juga mengetengahkan sistem kawalan pacuan empat roda elektrik, e-4ORCE dan Drivetrain iaitu enjin 1.5L 3-silinder KR15 VC-Turbo yang efisien minyak dan menjana kuasa elektrik untuk mengecas bateri.
Dari segi penampilannya, ia mengetengahkan rekaan luaran yang menarik dan tampak premium, rekaan dalaman yang selesa serta mengekalkan dan mengutamakan ciri-ciri keselamatan yang terbaik bagi penumpang dan pemandu.
Nissan X-Trail terbaharu akan dilancarkan kepada orang ramai pada 15 Disember di dewan pameran Nissan Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait di mana mereka boleh menyaksikannya dengan lebih dekat serta mengetahui ciri-ciri dan teknologi terkini yang diketengahkan dalam model kenderaan Nissan generasi ke-4 itu.