PUTRAJAYA, 20 MAC – Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) telah menyokong penubuhan Majlis Penasihat Buruh Negeri Sabah, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Dalam kenyataan hari ini KESUMA memaklumkan perkara itu dinyatakan dalam mesyuarat pertama NLAC yang dipengerusikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, semalam.
Mesyuarat itu turut mengambil maklum pelaksanaan Penguatkuasaan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dalam Pengurusan Pekerja Asing mulai 1 Januari 2023.
“Mesyuarat akan membincangkan dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai isu penginapan pekerja seperti yang disyaratkan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) khususnya berkaitan sektor ladang,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KESUMA memaklumkan isu berkaitan Tuntutan Pengiktirafan: Formula Undi Sulit akan dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pada April ini.
Menurut kenyataan itu mesyuarat NLAC berkenaan turut melantik ahli-ahli majlis NLAC yang baharu untuk tempoh 1 Mei 2023 hingga 30 April 2025.
NLAC merupakan platform tiga pihak iaitu majikan, pekerja dan kerajaan yang membincangkan isu berkaitan dasar, perundangan dan amalan perburuhan di negara ini.
Kali terakhir mesyuarat NLAC diadakan pada 15 Julai 2022. – Bernama


