MADRID, 22 JUN – Barcelona semalam telah mengecam penghinaan perkauman yang dialami pemain Nigeria, James Nnaji semasa kemenangan final kejohanan bola keranjang Sepanyol mereka ke atas saingan kuat, Real Madrid.
Insiden itu berlaku ketika sukan Sepanyol itu bergelut dengan bantahan global yang dicetuskan oleh perkauman yang ditujukan kepada bintang bola sepak Real dari Brazil, Vinicius Jr.
“FC Barcelona mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan perkauman yang dialami pemain bola keranjang pasukan utama James Nnaji sebelum perlawanan ketiga yang merupakan perlawanan terakhir,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.
“Kelab itu mengharapkan tindak balas tegas daripada ACB (liga bola keranjang Sepanyol) terhadap sebarang penghinaan kaum atau lisan,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam gambar ketibaan bas FC Barcelona di pusat WiZink di Madrid, tempat perlawanan tersebut berlangsung, menunjukkan beberapa penyokong Madrid megeluarkan beberapa perkataan penghinaan kepada pemain Barcelona.
Menurut media tempatan, Nnaji menjadi sasaran penghinaan perkauman.
“Saya mahu bercakap tentang apa yang berlaku di sini dengan James Nnaji, saya rasa ia amat dikesali. Saya banyak mendengar tentang Vinicius dan kini kita perlu menjelaskan tentang apa yang berlaku,” kata jurulatih bola keranjang Barcelona, Sarunas Jasikevicius.
Barcelona menewaskan Real Madrid 93-82 pada Selasa lalu selepas memenangi dua perlawanan pertama perlawanan akhir untuk kejuaraan liga Sepanyol ke-20 kelab itu. – AFP


