Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    NOC isytihar force majeure di loji penapis Libya

    TRIPOLI, 16 DIS – Syarikat Minyak Negara (NOC) milik kerajaan Libya mengisytiharkan keadaan force majeure di loji penapis minyak di bandar Zawiya, kira-kira 45 kilometer ke barat ibu kota Tripoli, kelmarin, berikutan kerosakan akibat pertempuran bersenjata, lapor Xinhua.

    “NOC dengan penuh kekesalan mengisytiharkan force majeure dan kecemasan tahap tiga (tertinggi). Beberapa tangki simpanan di loji penapis Zawiya mengalami kerosakan besar akibat tembakan pada awal pagi kelmarin yang mencetuskan kebakaran serius.

    “Kerosakan ini berpunca daripada pertempuran bersenjata menggunakan senjata ringan dan sederhana di kawasan sekitar loji penapis,” menurut kenyataan NOC.

    Bagaimanapun, petugas keselamatan loji penapis berjaya mengawal kebakaran dan kebocoran gas meskipun pertempuran masih berlaku di sekitar kawasan berkenaan, menurut kenyataan itu.

    Loji penapis Zawiya, yang merupakan loji penapis kedua terbesar di Libya sejak dibina pada 1974, menghasilkan sekitar 120,000 tong produk minyak setiap hari.

    Keadaan force majeure, yang diisytiharkan dalam keadaan luar biasa membolehkan NOC dikecualikan daripada tanggungjawab melanggar kontrak penghantaran minyak.

    NOC turut menyeru pihak berkuasa yang berkaitan supaya segera menghentikan pertempuran dan menjauhi kemudahan minyak dari zon konflik, sambil memberi amaran bahawa kerosakan pada tangki simpanan loji, yang mengandungi bahan mudah terbakar, membawa risiko besar kepada nyawa orang awam. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 24 September 2020 menunjukkan sebahagian pemandangan pelabuhan minyak Brega kira-kira 270 kilometer di barat bandar Benghazi di timur Libya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda