Selepas melalui detik duka kehilangan anak sulung tahun lalu, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dan isterinya, Fatin Athira Mustapa, akhirnya berkongsi khabar gembira bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi.
Berita manis itu didedahkan menerusi perkongsian semula Noh daripada hantaran rakan-rakannya di Instagram Story, memaparkan momen majlis pendedahan jantina anak damit yang dipercayai berlangsung, semalam.
Dalam video berkenaan, Noh kelihatan melompat kegirangan sebaik sahaja kertas dan asap berwarna merah jambu dilepaskan ke ruang acara, manakala Fatin yang anggun bergaun putih tersenyum manis di sisi suaminya.
Pada September tahun lalu, Noh berkongsi khabar duka di Instagram mengenai kehilangan anak sulung yang diberi nama Julian.
“Hari ini, 22 September, genap tujuh bulan kami kehilangan anak dalam kandungan.
“Kalian tak tahu kan? Dalam kesukaran berjuang untuk Musa, kami juga bergelut memastikan anak di dalam kandungan sihat, namun Tuhan jemput dia awal,” tulisnya ketika itu.
Noh mendirikan rumah tangga dengan Fatin Athira pada September 2023. Sebelum itu,dia pernah berkahwin dengan penyanyi Mizz Nina pada 2011 sebelum berpisah pada Ogos 2022.
Hasil perkahwinan bersama Mizz Nina, mereka memiliki seorang anak angkat diberi nama Musa. – Agensi


