JAYAPURA, INDONESIA – Seorang wanita membawa pisang, keladi dan sayur-sayuran dalam beg yang dikait dan diikat di kepalanya ketika berjalan melalui sebuah pasar di kawasan pinggir bandar Jayapura, Indonesia timur.
Bahkan di ibu kota Papua dan bandar-bandar besar di wilayah itu, beg noken digunakan untuk membawa keperluan harian merupakan pemandangan yang biasa.
Beg unik itu, dihasilkan secara kraf tangan menggunakan serat semula jadi seperti kulit kayu atau daun, dikait dan diikat dengan teknik warisan budaya Papua. Agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2012 telah mengiktiraf beg tradisional ini sebagai seni kraf yang memerlukan perlindungan segera kerana semakin sedikit pembuat noken dan persaingan daripada beg buatan kilang semakin meningkat.
Seorang pembuat noken, Mariana Pekei, menjual beg hasil tangannya setiap hari di Pasar Youtefa, Jayapura, bersama beberapa wanita lain dari kampungnya.
“Memproses kulit kayu untuk membuat beg ini adalah kerja yang sukar,” kata Pekei.
Mereka mengumpulkan bahan mentah daripada pokok melinjo atau orkid, menghadapi ancaman seperti gigitan nyamuk di hutan. Mereka kemudian memproses bahan tersebut menjadi benang serat, termasuk dengan memintal serat menggunakan tapak tangan dan paha, yang boleh menyebabkan luka dan meninggalkan parut pada kulit.
“Jika menggunakan benang biasa, kami hanya perlu mengait dan mengikatnya terus dengan tangan,” katanya.
Harga noken bergantung pada bahan dan mutu hasil tangan. Sebuah beg kecil boleh disiapkan dalam sehari, tetapi beg yang lebih besar memerlukan kreativiti, ketelitian dan kesabaran yang lebih tinggi daripada pembuatnya.
Kadangkala, noken diwarnakan menggunakan pewarna semula jadi, kebanyakannya dalam warna perang muda, kuning krim atau kuning keperangan.
“Itu adalah warna yang melambangkan masyarakat Papua dan tanah Papua,” ujar Pekei.
Dengan teknik lilitan yang kelihatan sederhana tetapi rumit serta simbolisme yang dipegangnya, noken telah menjadi warisan berharga yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Bagi masyarakat luar Papua, noken sering menjadi cenderamata yang dicari dan mudah didapati di pasar atau kedai cenderamata.
Walaupun kos pengangkutan tinggi, para pembuat kraf tangan sering berusaha melakukan perjalanan dari kampung terpencil mereka ke Jayapura, bertekad untuk menjual noken dan memperkenalkan seni kraf ini kepada penduduk bandar.
Namun, lebih daripada sekadar alat praktikal untuk membawa barang atau sekadar cenderamata, Pekei berkata, noken adalah simbol budaya yang kuat, mewakili daya tahan, perpaduan, dan kreativiti masyarakat Papua. – AP