Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Noki K-Clique hidap demam denggi tahap bahaya

    Penyanyi rap yang juga ahli kumpulan K-Clique iaitu Noki dimasukkan ke Hospital Shah Alam sekitar kira-kira pukul 4 pagi, baru-baru ini selepas mengalami demam yang teruk.

    Mula berasa kurang sihat sejak minggu lalu, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata, dia disahkan mengalami demam denggi tahap berbahaya.

    Menurut penyanyi berusia 27 tahun ini, keadaan kesihatannya kini semakin teruk sehingga mengganggu hati dan jantung.

    “Sekarang keadaan saya agak teruk juga sebab kepala tengah pening dan tak berhenti muntah. Pukul 4 pagi tadi saya dimasukkan ke wad.

    “Badan saya mula tak sihat sejak Jumaat lalu tapi lama-kelamaan keadaan semakin teruk dan ambil keputusan untuk pergi ke hospital.

    “Saya mengalami demam denggi tahap berbahaya sehingga mengganggu hati dan jantung saya,” kata Noki kepada wartawan.

    Terdahulu menerusi Instagram Noki berkongsi foto dia sedang terlantar sakit di sebuah hospital dan berharap orang ramai mendoakan kesembuhannya.

    Noki turut memberitahu suhu badannya naik sehingga 39 darjah Celsius dan bacaan platelet darah pula mencatatkan penurunan daripada bacaan normal.

    “Keadaan saya sekarang demam denggi tahap berbahaya. Doakan kesihatan saya. Semoga Allah lindungi kita semua daripada segala penyakit,” katanya. – Agensi

    Noki K-Clique dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam denggi yang teruk. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda