PENYANYI dan pelakon Noki K-Clique tidak pernah menyangka akan berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) kerana merasakan lebih selesa tinggal di Sabah bersama keluarga.
Noki atau Ahmad Ikhwan Aji, 31, bagaimanapun memberitahu perancangannya berubah apabila melihat karier seninya semakin kukuh dan memerlukan dia sentiasa berada di ibu negara.
“Masa mula-mula datang ke KL niat saya hanya mahu mencari pekerjaan yang baik dan pulang ke Sabah. Tapi rasanya sekarang mungkin terpaksa lupakan impian itu.
“Sebabnya kerjaya seni saya semakin berkembang dan adalah lebih baik saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur.
“Tambahan pula kebanyakan kerja saya di Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Noki memberitahu di awal pembabitannya bersama K-Clique, dia sering berulang-alik dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan persembahan.
Akui Noki, perkara itu memenatkan selain memerlukan kos tinggi dan disebabkan itu juga dia merasakan berpindah ke Kuala Lumpur adalah keputusan tepat.
“Bayangkan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur ambil masa hampir tiga jam, jadi tenaga banyak dipakai semata-mata untuk satu persembahan atau mesyuarat dan balik ke Sabah.
“Sebab itu saya pilih untuk menetap di sini agar urusan lebih mudah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noki menjelaskan babak masyarakat Sabah sanggup berhijrah ke Semenanjung demi mencari pekerjaan seperti dipaparkan dalam filem Soloz: Game of Life adalah benar.
Kata Noki, mencari pekerjaan di Sabah bukan perkara mudah memandangkan peluang terhad sehingga menyebabkan ramai sanggup berhijrah demi mencari rezeki buat keluarga.
Dalam perkembangan lain, Noki antara pelakon yang membintang filem Soloz: Game Of Life yang sudah mula ditayangkan pada 23 Januari lalu.
Filem berkenaan mengisahkan kisah benar perjalanan hidup seorang ikon E-sukan dari Malaysia yang mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya mengukir nama sebagai pemain E-sukan profesional dalam dunia permainan mudah alih Mobile Legends: Bang Bang. – Agensi