HMD Global telah mengumumkan telefon pintar pertamanya tahun ini iaitu Nokia 6 (2018) yang merupakan pengganti Nokia 6 tahun lalu.
Tidak seperti model asal yang dilancarkan Januari tahun lalu dengan pengimbas cap jari di depan, Nokia 6 (2018) menonjolkan pengimbas cap jari di belakang.
Telefon pintar baru ini juga tidak mempunyai punat kapasitif yang tersedia di samping pengimbas cap jari depan pada Nokia sebelumnya. Syarikat Finland itu telah memilih navigasi pada skrin untuk menjadikan antara muka pada Nokia 6 lebih menyerupai Android UI asli.
Keputusan itu dapat dilihat apabila ia memilih nisbah bidang paparan 16:9 dan tidak menggunakan nisbah bidang 18:9 yang merupakan penyebab utama pengeluar lain tidak meletakkan pengimbas cap jari dan punat kapasitif di depan. Selain itu, Nokia 6 (2018) mempunyai rangka unibody metal yang diperbuat daripada aluminium siri 6000.
Peranti dual SIM (Nano) ini menggunakan Android 7.1.1 Nougat terus dari kotak tetapi dijangka menerima kemas kini kepada Android 8.0 Oreo pada masa akan datang.
Telefon pintar ini dikuasakan SoC lapan teras Qualcomm Snapdragon 630 berkelajuan 2.2GHz dan dipadankan dengan RAM LPDDR4 4GB. Ia akan terdapat dalam dua varian storan dalaman iaitu 32GB dan 64GB yang boleh ditambah menerusi slot kad mikroSD (sehingga 128GB) dalam konfigurasi dual SIM hibrid.
Untuk mengambil gambar, Nokia 6 (2018) dilengkapi sensor kamera 16MP di belakang dengan denyaran LED dua tona dan lensa PDAF yang mempunyai apertur f/2.0. Di depan pula terdapat kamera 8MP dengan apertur f/2.0 dan lensa sudut luas 84 darjah.
Ia juga menyokong teknologi Dual-Sight buatan syarikat berkenaan yang membolehkan pengguna merakam gambar dari sensor kamera depan dan belakang pada masa yang sama bagi menghasilkan Bothie.
Dari segi sambungannya, peranti ini mempunyai FM radio, 4G VoLTE, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth v5, GPS/ A-GPS, USB Type-C dan jek audio 3.5mm.
Di samping itu, Nokia 6 (2018) disokong bateri 3000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas. Ia mempunyai ukuran 148.8×75.8×8.6mm dan berat 172g.