SAN FRANCISCO, 31 Julai – Nokia akan membantu T-Mobile untuk mengatur rangkaian internet ‘5G’ di seluruh Amerika Syarikat (AS) dalam satu perjanjian berjumlah AS$3.5 bilion, umum syarikat semalam.
Nokia akan membekalkan teknologi 5G kepada T-Mobile, dan membantu membina rangkaian tanpa wayar generasi baharu di seluruh dunia untuk firma telekomunikasi itu, kata syarikat.
“Kami semua akan menggunakan 5G,” kata ketua pegawai teknologi T-Mobile Neville Ray dalam satu kenyataan akhbar. “Dan bersama dengan Sprint, kami mampu melakukan lebih banyak lagi.”
Sementara itu, operator tanpa wayar AS, Sprint dan T-Mobile mengumumkan pada awal tahun ini bahawa mereka sedang bergabung untuk menubuhkan sebuah syarikat baharu dan meneruskan pembangunan rangkaian 5G yang berkelajuan tinggi.
Gabungan ini perlu diluluskan oleh pengawal selia.

Rangkaian 5G atau komunikasi tanpa wayar generasi kelima menjanjikan pemindahan data dengan lebih cepat sehingga membolehkan perkhidmatan seperti pembedahan jarak jauh atau kereta tanpa pemandu dan membenarkan pelanggan mengalami realiti video dan alam maya dengan lebih mudah.
“Nokia dan T-Mobile akan memajukan penggunaan perkhidmatan 5G secara besar-besaran di seluruh AS” kata ketua pegawai operasi pelanggan Nokia, Ashish Chowdhary dalam siaran akhbar.
T-Mobile merupakan salah satu sumber pendapatan terbesar untuk syarikat induknya Deutsche Telekom di Jerman.
T-Mobile dan Sprint – subsidiari Softbank di Jepun – masing-masing merupakan operator tanpa wayar ketiga dan keempat terbesar di AS buat masa sekarang. – AFP