Pernah menghilangkan diri hampir lima tahun, penyanyi Nomad mengakui kerjaya nyanyiannya tenggelam timbul.
Jejaka berasal dari Terengganu itu kembali membuat kemunculan semula menerusi program realiti, Gegar Vaganza pada 2007 dan enggan lagi menoleh ke belakang, lapor BH Online.
Nomad berkata kehilangannya berpunca daripada rasa kurang yakin dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan karier nyanyian tertangguh.
“Saya mengakui pernah berasa down sampai saya buat keputusan untuk tinggalkan bidang seni seketika.
“Pada fasa PKP barulah tergerak hati nak rekod lagu baharu. Saya tak fikir soal sambutan, janji lagu keluar radio.

“Setakat ini, lima lagu saya berjaya menembusi stesen radio.
“Saya tak kejar popular atau nak berjaya, janji masih memeriahkan industri, cuma agak kecewa saya tak jalani promosi untuk lagu baharu ketika fasa PKP,” katanya yang ditemui pada majlis buka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel, baru-baru ini.
Nomad yang baru meluncurkan single berjudul Mengejar Cinta, bulan lalu bakal tampil dengan video muzik selepas Aidilfitri ini.
Menyentuh sambutan Aidilfitri, Nomad yang kali pertama kali beraya bersama isteri, Farah Wahidah Hassan berkata, dia mungkin akan menyambut raya di Kemaman, Terengganu terlebih dahulu, sebelum pulang ke kampung halaman isteri di Alor Setar, Kedah.
“Saya tanya isteri nak raya mana dulu, dia kata tak kisah. Jawapan isteri sebenarnya sangat mencabar, jadi saya putuskan untuk raya di kampung halaman saya dahulu.
“Kami akan pulang lebih awal ke Terengganu dan mungkin akan pulang ke utara pada hari raya kedua,” katanya.
Nomad dan Farah mendirikan rumah tangga pada 13 Mei tahun lalu di Alor Setar dalam satu majlis tertutup. – Agensi

