BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) memaklumkan orang ramai bahawa tawaran bilangan pendaftaran kenderaan tiga dan empat angka siri BAV bagi nombor-nombor BAV 100 hingga 9999 telah dibuka mulai kelmarin (25 April 2018).
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk memperolehi nombor-nombor tersebut bolehlah mendapatkan Borang A1 di Kaunter Penyambut Tetamu, Ibu Pejabat JPD, Beribi, Jalan Gadong dan di JPD Cawangan Daerah Belait semasa waktu pejabat.
Borang yang telah lengkap diisi hendaklah disimpan dalam sampul surat yang bertutup dengan menyertakan bersama salinan kad pengenalan pintar, salinan lesen memandu pemohon serta resit bayaran perkhidmatan ($25) bagi setiap bilangan pendaftaran.
Sampul surat yang bertutup hendaklah dibubuh perkataan ‘Tawaran Bilangan Pendaftaran Kenderaan’ di bahagian atas kiri sampul surat dan dimasukkan ke dalam Peti Tawaran Bilangan Pendaftaran yang terletak di aras bawah Ibu Pejabat JPD, Beribi, Jalan Gadong dan JPD Cawangan Daerah Belait tidak lewat 26 Mei, jam 11 pagi.
Untuk mengetahui mengenai peraturan dan syarat-syarat tawaran, orang ramai hendaklah melayari laman sesawang JPD di alamat www.jpd.gov.bn.