Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nombor plat pemilik EV perlu patuh spesifikasi JPJ

    KUCHING, 9 MEI – Semua pengedar dan pemilik kenderaan elektrik (EV) di Sarawak perlu memastikan plat nombor pendaftaran kenderaan mereka mematuhi spesifikasi di bawah inisiatif ePlate Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun polisi itu tidak diwajibkan buat masa ini.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata walaupun kementeriannya bukan agensi pelaksana polisi itu, namun pihaknya berperanan memastikan masyarakat serta pihak berkepentingan industri kenderaan menerima maklumat terkini dan tepat.

    “Walaupun belum diwajibkan, semua pemilik EV sangat digalakkan untuk menggunakan ePlate supaya selari dengan usaha nasional ke arah penguatkuasaan dan penyeragaman lebih baik selain memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan jalan raya serta operasi tindak balas kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata operasi menyelamat dalam situasi kecemasan seperti dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memerlukan protokol berbeza dalam mengendalikan EV disebabkan sistem bateri voltan tinggi.

    “Apabila pasukan menyelamat boleh mengenal pasti kenderaan terlibat adalah EV dengan pantas, mereka boleh bertindak lebih berkesan dan selamat menggunakan teknik menyelamat bersesuaian,” katanya.

    Lee berkata polisi ePlate merupakan inisiatif kerajaan persekutuan dan setakat ini, hanya terpakai kepada kereta, dan masih dalam fasa sukarela, dengan penguatkuasaan dalam masa ini berbentuk nasihat dan tiada kompaun dikenakan.

    Peringatan itu diberikan ekoran timbul kes baru-baru ini yang melibatkan pemilik EV menerima notis daripada JPJ berhubung ketidakpatuhan berhubung spesifikasi ePlate, yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat awam. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda