Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nombor tidak menipu – Sharapova

    PARIS, 3 Jun – Maria Sharapova mengakui bahawa ‘nombor tidak berbohong’ ketika dia membuat persiapan bagi perlawanan sukar berdepan Serena Williams, yang mana dia tewas 18 kali berturut-turut, dalam pusingan keempat Terbuka Perancis.

    Sharapova, yang mengetepikan Karolina Pliskova dalam pusingan ketiga, akan berdepan Williams buat kali ke-22 dalam 16 pemain terakhir esok, selepas pemain Amerika itu menyingkirkan Julia Goerges 6-3, 6-4 dari Jerman.

    Serena mendominasi rekod pertembungannya dengan Sharapova 19-2, di mana kali terakhir pemain Rusia itu menang adalah pada Kejohanan Jelajah WTA 2004, sebelum lahirnya Twitter dan Youtube.

    Sharapova tewas dalam tujuh pertembungan terakhir mereka dalam ‘straight set’ dan hanya mampu menang dalam tiga set ke atas Williams dalam 18 kekalahan berturut-turut itu.

    Ia adalah buat kali pertama kedua-duanya bertemu sejak Williams menang dalam suku akhir Terbuka Australia 2016, perlawanan terakhir Sharapova sebelum menjalani penggantungan selama 15 bulan kerana doping.

    “Setiap kali anda bermain menentang Serena, anda tahu siapa yang anda hadapi,” kata Sharapova, 31, yang menewaskan Pliskova 6-2, 6-1 kelmarin.

    “Anda tahu cabaran ada di depan anda. Anda tahu, meskipun dengan rekod pertembungan saya dengannya, saya memang tidak sabar untuk memasuki gelanggang dan bersaing dengan pemain terbaik.

    “Saya fikir banyak perkara dalam permainannya yang lebih baik daripada saya, nombor tidak menipu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda