Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sebanyak 10 resepi baharu sempena sambutan bulan suci Ramadan yang bakal tiba telah diperkenalkan di Kitchen Table, Kiulap hari ini semasa acara Eat, Learn & Chill! Nostalgia Ramadhan Raya 2021 oleh Nona Manis dan dikendalikan oleh Solstice Event Co.
Nostalgia Ramadhan Raya 2021 tersebut menumpukan kepada rasa nostalgik semasa menyambut bulan suci Ramadan dan menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Mutassir dan Pengiran Nur Izzati binti Pengiran Haji Abdul Wahab.
Nona Manis adalah sebuah perniagaan tempatan yang terdiri daripada para pakar pastri serta menyediakan kelas memasak yang mudah dan senang diikuti serta menjual pelbagai juadah pencuci mulut, pastri dan kuih melayu yang berkualiti tinggi.
Acara pada pagi tadi dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengurus Acara Nostalgia Ramadhan Raya 2021, Aidil Hajri dan diikuti dengan penyajian pelbagai hidangan sarapan pagi yang menyelerakan seperti nasi kerabu, ayam percik puteri manis, dan kerabu nenas berkacang. Di samping itu juadah pencuci mulut turut disajikan berupa Coconut Raspberry Pistchio, Spectacular Speculoos dan Mangomisu dan acara diikuti dengan kelas pertunjukan memasak oleh Azry Masri dari Guapo Bakes.

