Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Noor Jehan dirawat empat doktor haiwan

    KARACHI, 5 APRIL – Doktor haiwan berkata mereka melakukan prosedur kritikal untuk menyelamatkan seekor gajah yang sakit di sebuah zoo di selatan Pakistan, hari ini.

    Noor Jehan, 17, dibawa ke Karachi bersama tiga lagi gajah bertahun-tahun lalu. Video haiwan itu menyandarkan kepalanya pada pokok dan bergelut untuk berdiri telah menimbulkan kebimbangan di Pakistan. Gajah itu mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk artritis.

    Pasukan lapan anggota dari organisasi kebajikan haiwan Austria, Four Paws melakukan prosedur kompleks dengan bantuan kren dan trak bomba.

    “Kami hampir kehilangannya apabila kami memberikan ubat penenang kepadanya, tetapi nasib baik kami mempunyai semua persiapan yang diperlukan, dan Noor Jehan bangkit semula,” kata Dr Amir Khalil, yang mengetuai pasukan itu.

    Pakar melakukan ultrabunyi dan mendapati hematoma besar di perutnya, yang menjejaskan organnya.

    “Berita baiknya ialah terdapat rawatan untuk ini, tetapi ia melibatkan banyak kerja dan tuah pada hari-hari mendatang,” kata Khalil. “Namun, Noor Jehan masih muda, dan dia boleh hidup 20 atau 30 tahun lagi.”

    Pasukan itu termasuk doktor haiwan dari Mesir, Bulgaria dan pakar penternakan gajah dari Jerman. Gabenor wilayah Sindh, di mana Karachi terletak, berada di zoo untuk prosedur itu, begitu juga dengan aktivis hak asasi haiwan.

    Khalil berkata pihak berkuasa telah bersetuju untuk memindahkan Noor Jehan ke tempat yang lebih baik bersama gajah lain, Madhubala, kerana keadaannya sekarang tidak sesuai.

    Pelvis Noor Jehan patah kerana trauma dan terdapat abses tumbuh di kawasan itu. Khalil berkata, terdapat banyak rawatan yang disediakan untuknya, termasuk urutan air dan pergerakan.

    “Kami akan memindahkannya ke kawasan yang lebih besar di mana dia boleh bergerak dengan bebas. Inilah yang Noor Jehan perlukan.” – AP

    Doktor haiwan daripada Four Paws menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas Noor Jehan di Zoo Karachi, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda