Pelakon, Noorkhiriah kesal video iklan lakonannya dijadikan umpan hingga menjerat ramai mangsa penipuan membabitkan aktiviti pengambilan deposit secara haram.
Enggan terus disalah sangka dan dituduh bersubahat, bintang drama rantaian Nur di TV3 itu mengeluarkan amaran selepas video iklan lakonannya digunakan tanpa kebenaran pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran dalam Instagram (IG), Noorkhiriah menafikan terbabit dalam agenda penipuan yang didakwanya membabitkan sebuah syarikat saham ‘scammer’, baru-baru ini.
“Saya berlakon dalam iklan sebuah syarikat latihan dan bimbingan saham. Saya hanya memenuhi permintaan syarikat berkenaan sahaja.
“Niat mahu mencari rezeki selepas lama tidak bekerja di hadapan kamera. Namun, saya tidak sangka terkait dengan isu penipuan membabitkan aktiviti pengambilan deposit secara haram.
“Mulanya, saya menyangka syarikat latihan dan bimbingan saham berkenaan mengambil kesempatan dan melakukan penipuan, sebalik tidak.

Video iklan ini dicuri dan disalah guna sebuah lagi syarikat ‘scammer’ yang tidak dikenali,” dakwanya.
Noorkhiriah atau nama sebenarnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie dimaklumkan, syarikat latihan dan bimbingan saham yang menjadi mangsa sudah mengeluarkan kenyataan menafikan bersekongkol dengan syarikat ‘scammer’ itu.
“Saya diberitahu, syarikat menawarkan saya peluang berlakon iklan ini tidak pernah mengambil deposit untuk tujuan pelaburan.
“Syarikat ini ditubuhkan sebagai entiti pendidikan dan pelaburan haruslah dilakukan secara terus ke Bursa Malaysia.
Pelakon filem Susuk dan Papadom itu berkata, tindakannya memuat naik hantaran dalam IG bersebab, namun, sudah memadamkannya. – Agensi