Selepas mengumumkan kembali rujuk bersama suami, penyanyi Datuk Nora Ariffin dan Dr Rushdi Ramli meluangkan masa bersama bercuti di sebuah pusat peranginan di Negeri Sembilan.
Nora atau Wan Norafizah Ariffin, 52, menerusi kapsyen ringkas dimuat naik di Instagram miliknya memberitahu dia dan suami mahu mencari ketenangan sambil menikmati keindahan alam.
“Melarikan diri ke tempat yang lebih tenang dikelilingi oleh alam semesta,” tulisnya.
Menerusi perkongsian itu juga, Nora dilihat memuat naik foto di persekitaran pusat peranginan tersebut dan melakukan aktiviti mendaki bersama suami.
Malah pasangan suami isteri itu turut menikmati hidangan di kolam renang seperti sedang menikmati percutian bulan madu.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa gembira dan mengucapkan kesyukuran selepas melihat pasangan suami isteri itu kembali bersatu.
“Alhamdulillah, syukur. Semoga kak Nora kekal bahagia selamanya; Alhamdulillah kekal bahagia selamanya,” antara tulisan warganet.
Pada 12 Ogos lalu, Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi sebuah video berdurasi 52 saat.
Malah selepas video berkenaan dikecam ramai, Nora sempat membela bekas suaminya dan memaklumkan itu bukanlah atas kehendak suaminya, sebaliknya mengikut arahan seseorang.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi lagu Desa Tercinta ini memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis yang diadakan sekitar hujung tahun 2021.
Nora sebelum itu pernah berkahwin dengan komposer Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Namun, Johan meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung. – Agensi