Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nora Danish bersikap terbuka jika jodoh seorang ustaz

    Setiap insan hanya mampu merancang, namun, Tuhan menentukan segala-galanya. Frasa itu jelas menggambarkan situasi dihadapi pelakon jelita Malaysia, Nora Danish sekarang.

    Jauh di dasar hati, terselit perasaan terkilan apabila hajat mengerjakan ibadat haji, tahun ini, tidak tidak kesampaian.

    Menyifatkan apa yang berlaku sebagai belum rezeki, Nora atau nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif, 43, yakin suatu hari nanti, impian untuk menunaikan rukun Islam kelima pasti terlaksana.

    “Saya teringin tunaikan Haji, tahun ini. Saya sudah bersedia. Apabila tidak dapat pergi, rasa sangat terkilan dan sedih.

    “Kita hanya mampu merancang, namun, yang menentukannya, Tuhan. Lagipun, seruan untuk menunaikan ibadat haji datangnya daripada Allah. Kalau ditakdirkan ada rezeki, adalah.

    “Jadi, saya akan sambut Aidiladha di Malaysia sahaja. Siapa tahu, tahun depan ada rezeki saya untuk tunaikan haji bersama suami baharu,” katanya kepada Berita Harian Online.

    Mengulas kenyataan seakan memberi bayangan bakal kembali mendirikan rumah tangga, Nora berkata, ia hanyalah ayat penyedap hati, bukannya kerana mahu menamatkan janda seperti yang disangka.

    Malah, tegas Nora, langkah kembali berkahwin tidak ada dalam kamus hidup kerana dia sedang berada dalam fasa mengenali diri sendiri.

    “Bagi saya, dalam hidup ini, setiap insan pasti inginkan pasangan dan saya tidak terkecuali. Kalau boleh dalam menjalani ujian, saya tak naklah hadapinya sendirian.

    “Cuma, buat masa ini, saya masih belum terfikir untuk mencari jodoh. Fokus saya hari ini adalah untuk mengenali diri saya sahaja,” ungkap pelakon filem Sayu Yang Syukur itu.

    Diusik dengan pertanyaan adakah terima jika jodohnya dalam kalangan ustaz, ibu tunggal kepada dua cahaya mata lelaki itu bersikap terbuka jika itu yang ditakdirkan untuknya.

    “Apabila saya dalam fasa mendekatkan diri dengan Allah, saya memang sering dikelilingi ustaz, habib dan maulana untuk saya mengisi ruang hati yang kosong.

     

    “Tidak dinafikan, ada di antara mereka mendekati saya dengan niat untuk berkahwin. Tetapi, cuma setakat itu sahaja. Saya letak garis sempadan dan tidak bersedia untuk berkahwin.

    “Saya tidak mahu terburu-buru dalam soal jodoh. Saya tidak mahu berkahwin hanya disebabkan sunyi. Namun, tidak dinafikan golongan agamawan ini mempunyai wajah tenang dan tutur kata sopan.

    “Secara tidak langsung sifat itu mencuit hati saya. Inilah dugaan yang saya hadapi sekarang. Mujur ada rakan-rakan yang menasihati supaya tidak cepat larut dengan perasaan,” katanya yang baru dilantik sebagai duta koleksi abaya Oasis di bawah jenama Amber.

    Nora dan bekas suami, Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

    Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.

    Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – Agensi

    Nora terkilan tidak berpeluang menunaikan ibadat Haji tahun ini. – Berita Harian Online

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda