Sejak zaman bercinta, kemudiannya mendirikan bahtera rumah tangga sehingga dikurniakan cahaya mata, kehidupan peribadi aktres jelita, Nora Danish, 39, dan suaminya, Mohamed Nedim Nazri atau Nedim, 38, bagaikan drama rantaian popular.
Seumpama naskhah yang terbuka, setiap gerak geri Nora dan Nedim sering menjadi perhatian warganet. Apa sahaja yang dikongsi dalam media sosial pasti mencetuskan perdebatan, sekali gus dihakimi tanpa belas kasihan.
Terbaharu, gambar yang memaparkan kemesraan pasangan romantik ketika bercuti di Pulau Langkawi, baru-baru ini yang dikongsi Nora di Instagram (IG) menimbulkan rasa meluat pada warganet.
Meskipun dikecam teruk, Nora cukup tenang tatkala berdepan dengan situasi seperti itu.
Menganggapnya tidak melakukan sebarang kesalahan, Nora menasihatkan, warga warganet yang terkesan dengan gambar dikongsi supaya berprasangka baik dan perlu melihat daripada sudut positif.
“Setiap orang mempunyai tafsiran dan penilaian yang berbeza terhadap sesuatu. Jadi, saya tidak boleh mengawalnya jika ini yang berlaku.
“Itu adalah pilihan masing-masing. Kalau fikir gambar yang dikongsi sebagai negatif, maka negatif jadinya.
“Namun, jika menilai perkongsian saya dari aspek lebih baik seperti mampu dijadikan contoh untuk memperbaiki dan mengeratkan hubungan suami isteri, sekali gus mengukuhkan rumah tangga dibina, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang bermanfaat.
“Kita kena tanamkan sifat positif dalam diri. Apabila ada pemikiran seperti ini, kita tidak akan mudah sakit hati atau menyimpan prasangka buruk terhadap kebahagiaan orang lain,” katanya ketika ditemubual media baru-baru ini.
Empat tahun melayari kehidupan rumah tangga bersama Nedim, pelakon yang mula menempa populariti menerusi drama komedi, Puteri itu berkata, dia sentiasa mendakap bahagia.
Nyata pengalaman silam yang pernah dilalui apabila rumah tangga dibina berkecai di pertengahan jalan membuatkan Nora dan Nedim lebih menghargai ikatan terjalin.
Harapan Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif menjelaskan biarlah mahligai dibina kekal hingga ke alam syurga. – Agensi