Hubungan pelakon Nora Danish dengan perunding kewangan dikenali Mickey Ayo terus menjadi perhatian warganet selepas memuat naik hantaran berkongsi hadiah di media sosial masing-masing.
Menerusi perkongsian itu, Mickey dilihat menghadiahkan sepasang kasut putih jenama QC kepada Nora.
Tidak lama kemudian, Nora pula tampil membalas pemberian tersebut dengan menghadiahkan jam sukan berjenama Suunto kepada Mickey.
Menurut mStar, perkara itu dikongsi kedua-dua mereka menerusi Instastory kelmarin.
Perkongsian berbalas hadiah itu nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang mula membuat andaian tentang status sebenar hubungan mereka.
Untuk rekod, kisah antara mereka mula menjadi perbualan hangat selepas Nora memuat naik foto lelaki berkopiah di media sosial miliknya.
Ketika itu, ramai yang mula membuat spekulasi kononnya mereka sedang menjalin hubungan istimewa.
Sebelum ini Nora tampil menafikan dakwaan dia bakal mendirikan rumah tangga dengan Mickey yang juga merupakan seorang duda anak tiga.
Malah, Nora menjelaskan foto dan video yang tular di media sosial ketika itu hanyalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk dan tidak ada kena-mengena dengan urusan peribadinya.
Walaupun penafian telah dibuat, warganet masih lagi ‘menyiasat’ perkembangan hubungan mereka yang kelihatan semakin mesra.
Kali ini, dengan adanya pertukaran hadiah dan ucapan mesra di media sosial, peminat semakin tertanya-tanya sama ada hubungan itu sekadar kawan rapat atau sebenarnya lebih daripada itu. Sehingga kini, kedua-dua pihak masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai status hubungan mereka. – Agensi


