Orang ramai tidak sepatutnya menganggap wanita yang menutup aurat sebagai manusia suci dan tidak melakukan kesilapan serta dosa.
Pelakon Nora Danish, 42, berkata, sebagai seorang manusia biasa tidak boleh lari daripada melakukan dosa walaupun menjaga aurat.
“Mentaliti ini kita kena ubah dan sedar bahawa mereka juga manusia biasa, tidak lari daripada melakukan dosa.
“Yang Allah lihat adalah taubatnya. Jadi janganlah kita pandang sesiapa pun suci, semua pun sama makhluk Allah. Supaya kita tidak terlalu menilai mereka jika mereka diuji,” katanya yang dipetik mStar.
Nora berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya semalam.
Dalam perkongsian tersebut, pelakon filem Cuti-Cuti Cinta itu turut berkongsi potongan video memaparkan seorang wanita menerangkan umat Islam yang beriman itu tidak ada yang sempurna.
Kongsinya, semua manusia di muka bumi ini melakukan dosa namun mereka menyedari kesilapan itu dengan bertaubat.
Nora bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan individu menutup aurat dan bersifat alim itu dianggap suci serta tidak berbuat dosa.
“Bila mereka yang bertudung atau berjubah, berserban dianggap suci dan tidak boleh melakukan dosa.
“Dihukum, dihina teruk apabila mereka melakukannya sampai terkadang dituduh munafik,” ujarnya. – Agensi