Pelakon Malaysia, Nora Danish meluahkan rasa kecewa apabila langkah menutup mulut atau bertapis dalam bercakap isu membabitkan dirinya sebenarnya mencetuskan pelbagai spekulasi tidak benar.
Memetik laporan mStar, Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, bagaimanapun memilih untuk menanggung semua kesalahan di atas bahunya asalkan orang lain dapat bahagia.
“Biar luaran nampak kita yang buruk kerana dari dulu saya bukan jenis suka mengaibkan orang sebab diri sendiri pun bukan sempurna.
“Masalah keluarga biar saya sahaja yang telan. Apabila kita membuat pilihan berdiam dan bertapis, terlalu banyak spekulasi timbul sampai dituduh bermacam-macam.
“Tapi Alhamdulillah saya sudah bersedia. Saya akan tanggung semua kesalahan asalkan semua pihak bahagia.
“Doa yang baik-baik buat semua pihak. Allah sebaik-baik perancang,” katanya.
Nora berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya, kelmarin.
Dalam pada itu, Nora menegaskan beliau bukan seorang wanita yang manja dan mengharapkan duit suami seperti didakwa segelintir pihak.
Jelas Nora, sejak dahulu beliau sudah terbiasa berdikari selain ingin membantu menyara keluarga dan anak-anaknya.
“Saya bekerja tanpa henti sejak awal untuk keluarga dan anak-anak saya. Daripada dulu saya tak pandai meminta-minta walaupun suami sendiri.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Allah kerana memberikan kudrat dan rezeki.
“Bukan niat membanggakan diri sendiri cuma saya hendak menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyangka saya dimanjakan,” jelasnya.
April lalu, Nora secara terbuka mengakui perkahwinannya dengan Nedim Nazri sedang dilanda masalah.
Bagaimanapun kata Nora, kedua-dua mereka sedang berusaha menangani semua masalah yang berlaku secara matang.
Malah kata Nora, mereka juga sudah tinggal berasingan sejak awal tahun ini.
Untuk rekod, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl, 6 tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – Agensi


