Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nora Danish tidak mahu lantang, takut terkena batang hidung sendiri

    Dalam tempoh lebih 20 tahun membawa diri sebagai anak seni, semestinya pelbagai cerita sensasi termasuk isu dan gosip pernah menghimpit aktres jelita, Nora Danish sehingga menjadi topik dan kecaman ramai.

    Sama ada isu peribadi mahupun pergeseran membabitkan dirinya dengan selebriti lain, semua itu sudah menjadi kisah yang tercatat dalam lembaran sejarah perjalanan Nora sepanjang bergelar pelakon.

    Memetik dari Berita Harian, bagaimanapun, pada kala usia yang sudah menginjak usia 41 tahun, Nora atau nama lengkap, Nora Mohd Danish Hanif hanya mahu mencari ketenangan dengan menghindari segala perkara yang berpotensi membuka ruang dirinya dilanda kontroversi.

    Justeru, Nora berkata, dalam fasa kehidupannya ketika ini, beliau lebih memilih memberi tumpuan penuh kepada keluarga, di samping berusaha sedaya upaya mengawal setiap kelakuan atau percakapannya.

    “Disebabkan saya ada anak, jadi minta jauh daripada terpalit dengan sebarang isu. Saya akan cuba elak daripada bercakap mengenai sesiapa atau menimbulkan sebarang isu.

    “Keutamaan lebih kepada keluarga sebab sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya lebih sedar keluarga adalah segala-galanya.

    “Sejak itu, saya lebih hadkan pembabitan dalam dalam lakonan. Kalau filem atau telefilem, saya masih boleh pertimbangkan, tapi untuk drama terpaksa tolak walaupun tawaran semuanya bagus,” katanya kepada Berita Harian.

    Nora memulakan kerjaya lakonan menerusi sitkom, Puteri yang disiarkan di TV3 pada 2005 berkata, beliau lebih memilih berdiam diri daripada memberi sebarang respon berhubung isu semasa kerana dikhuatiri akan berbalik kepada diri sendiri.

    “Bagi saya, netizen sekarang kalau kita buat silap sikit mesti akan kena. Sekarang, saya tenang sebab kalau hendak muat naik sesuatu dalam media sosial akan fikir banyak kali sebab sudah berkeluarga dan ada anak.

    “Saya lebih selesa dan fokus apa yang patut sahaja. Kalau tak perlu, saya takkan muat naik apa-apa dalam media sosial. Berkenaan isu semasa pun saya jarang komen sebab takut perkara itu berbalik kepada diri sendiri.

    “Kadang-kadang kalau lantang cakap mengenai hal orang, kalau kena pada diri barulah tahu. Sebab itu, saya lebih mendiamkan diri dan bercakap bila perlu sahaja. Isu semasa selalu sahaja tengok, tapi saya tak bersuara.

    “Jangankan selebriti, orang lain pun saling bergaduh kalau di lihat dalam media sosial. Kadang-kadang bila tengok tak tahu hendak cakap apa. Sekarang ini pula zaman media sosial, jadi pelbagai perkara atau isu yang timbul,” katanya.

    Dalam pada itu, Nora berkata, beliau kerjaya lakonannya masih berjalan seperti biasa, namun tidak serancak dahulu kerana sedikit memilih untuk menerima sebarang tawaran, selain perlu mempertimbangkan kekosongan jadual harian.

    “Saya masih berlakon dan belum berhenti lagi, cuma memilih dengan mempertimbangkan dari segi masa dan lokasi.

    “Pada masa sama, saya juga mahu watak yang boleh berikan cabaran berbeza daripada apa yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.

    Nora berkongsi, beliau kini sedang dalam perancangan menerbitkan filem pertama, namun melihat cabaran perlu dilalui, aktres kelahiran Kemaman, Terengganu itu perlu mengambil masa supaya karya yang bakal diterbitkan benar-benar berkualiti.

    “Saya pernah cakap mahu terbitkan filem sendiri, tapi terbantut juga sebab bukan senang untuk terbitkan sesuatu karya. Saya juga mahukan karya sulung itu betul-betul berkualiti.

    “Saya mahu berikan kepuasan kepada peminat, jadi akan ambil masa sikit. Semua ini masih dalam perancangan sebab ia bukan perkara mudah,” katanya.

    Nora pernah berkongsi mahu menubuhkan syarikat produksi, ND Production sejak Disember tahun lalu, namun masih menunggu masa sesuai untuk beroperasi sepenuhnya. – Agensi

    Sama ada isu peribadi mahupun pergeseran membabitkan dirinya dengan selebriti lain, semua itu sudah menjadi kisah yang tercatat dalam lembaran sejarah perjalanan Nora sepanjang bergelar pelakon. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda