Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Tuah memihak kepada Dayang Noraini binti Mohd Usof apabila beliau berjaya memilih kotak bertuah yang mengandungi kunci hadiah utama Mercedes Benz E200 AMG bagi pusingan kedua Kempen Barakah 7 Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Hotel & Country Club, petang tadi.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah utama pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang juga selaku ahli Lembaga Pengarah BIBD.
Turut hadir bagi menyerahkan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dan Timbalan Pengarah Pengurusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.
Majlis itu juga menyaksikan seramai empat orang pelanggan membawa pulang hadiah iPhone 7, 10 orang pelanggan mendapat hadiah iPad Pro dan 15 orang pelanggan lagi mendapat hadiah sagu hati iaitu iPhone SE.






Turut hadir di majlis itu juga ialah peserta-peserta acara akhir, ahli keluarga dan pegawai serta kakitangan BIBD.
Dayang Noraini yang merupakan ibu kepada lima orang anak, ketika ditemui pihak Media Permata melahirkan perasaan gembira atas rezeki yang telah diterimanya kerana ini merupakan tuah yang terbesar dan tidak dijangka bagi tahun ini.
Beliau menyatakan lagi bahawa beliau telah pun mengambil perkhidmatan skim pinjaman peribadi dan pinjaman pengubahsuaian bagi menyertai kempen tersebut.
Pusingan kedua Kempen Barakah 7 BIBD berjalan bermula dari 1 Disember 2016 hingga 28 Februari 2017.