Selepas 29 tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Noralbaniah akhirnya terbuka hati untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidupnya.
Noralbaniah atau Nor Albaniah Raffie, 56, berkata rasa sunyi hidup bersendirian membuatkan dia terasa ingin kembali berumah tangga.
“Kalau dulu, jawapan saya berbeza. Saya kata tak perlu kahwin lagi sebab dah tua. Tapi sekarang lain, saya rasa sunyi.
“Kalau ada orang nak, saya memang bersedia untuk berkahwin.
Cuma mungkin tiada yang mahu dengan saya. Saya pun tak tahu,” katanya kepada mStar.
Noralbaniah berkongsi perkara itu semasa ditemui di Tayangan Perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada malam Isnin.
Tidak mengharapkan lebih, Noralbaniah hanya menginginkan seseorang yang boleh menerima dirinya seadanya.
Pun begitu, dia menolak untuk berkenalan dengan seseorang yang sudah berstatus suami orang malah terbuka menjalinkan hubungan dengan mana-mana rakan artis.
“Saya masih mencari tapi tiada lagi. Kalau boleh janganlah suami orang. Saya tak mahu banyak cuma nak orang yang boleh faham kerenah saya saja. Saya tak nak berusia sangat, tak apa kalau muda dari saya asalkan dia matang.
“Saya tak suka lelaki daripada kalangan artis. Sejak dulu, saya tak pernah bercinta atau ada skandal dengan artis. Tapi kalau pada masa depan ada jodoh begitu, mungkin boleh dipertimbangkan,” luahnya.
Kongsi Noralbaniah lagi, dia selesa berkenalan secara bersemuka berbanding menggunakan aplikasi mencari jodoh dalam talian. – Agensi