Tanpa berselindung penyanyi Noraniza Idris mengaku pernah lewat membuat pembayaran gaji para pekerjanya selama sebulan susulan menjadi mangsa penganiayaan sebuah akademi latihan keusahawanan.
Bagaimanapun Noraniza, 57, bersyukur para pekerjanya memahami situasi yang sedang melanda syarikat makanan ringan miliknya iaitu Cik Ani Premium namun itu bukan bererti dia lepas tangan terhadap tanggungjawabnya sebagai majikan.
“Memang ada gaji pekerja yang terlewat bayar dalam sebulan gaji. Alhamdulillah mereka faham tentang pendapatan syarikat yang tidak seberapa sehingga perlu membayar RM30,000 ke RM40,000 gaji pekerja.
“Tapi saya ambil tanggungjawab itu dan cuba selesaikan sedikit demi sedikit,” katanya kepada mStar.
Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media dan majlis berbuka puasa Starvendors di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya, Selangor pada malam kelmarin.
Berkongsi lanjut, kata Noraniza dia turut menggunakan wang peribadi termasuk wang persembahan bagi mengatasi masalah kewangan syarikat.
Bagi Noraniza, ia adalah perkara biasa untuk mendahulukan wang sendiri apatah lagi perniagaan masih belum stabil.
“Keluarkan duit sendiri itu perkara biasa, siap kumpul dengan duit anak-anak. Sampai duit persembahan saya pun dimasukkan dalam akaun syarikat,” ujarnya.
Enggan mengalah dengan ujian melanda, Noraniza bersyukur hutang gaji pekerjanya sudah beransur selesai sejak November tahun lalu.
Jelas Noraniza, dia cuba mencari pendapatan sebanyak mungkin melalui berniaga atas talian serta menyertai acara atau festival makanan.
Pada 4 Mac lalu, Noraniza membuat laporan polis terhadap sebuah akademi latihan keusahawanan dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan sehingga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM630,000.
Malah Noraniza memberitahu dia terpaksa merehatkan 20 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka. – Agensi
