OMAHA, 27 OKT — Bagi membantu mengesan kerosakan dengan cepat pada kereta api yang bergerak, Norfolk Southern kelmarin berkata ia telah memasang portal pemeriksaan automatik generasi baharu yang pertama di landasannya di Ohio – tidak jauh dari tempat salah satu kereta apinya tergelincir dari landasan pada Februari lalu dan menumpahkan bahan kimia berbahaya yang terbakar.
Portal baharu itu, dilengkapi dengan kamera berkelajuan tinggi, akan mengambil ratusan gambar setiap lokomotif dan gerabak kereta api yang lalu. Gambar-gambar tersebut dianalisis oleh perisian kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh syarikat kereta api itu. Berbeza dengan versi sebelumnya, portal pemeriksaan baharu ini mampu menangkap semua sisi kereta api yang melaluinya dengan imej yang terang.
Portal baharu pertama ini baru-baru ini dipasang di landasan yang sibuk di Leetonia, Ohio, kurang daripada 24 kilometer dari tempat kereta api itu tergelincir di East Palestine pada Februari.
Norfolk Southern dan syarikat-syarikat kereta api utama yang lain telah melabur dalam teknologi pemeriksaan serupa selama bertahun-tahun semasa mereka mencari cara untuk melengkapi pemeriksaan manusia yang sekian lama menjadi asas industri ini untuk memastikan kereta apinya selamat.
David Clarke, bekas pengarah Pusat Penyelidikan Pengangkutan Universiti Tennessee, berkata teknologi ini berkemungkinan dapat membantu mengesan kerosakan yang berlaku semasa kereta api bergerak lebih baik daripada pekerja yang ditempatkan berdekatan dengan landasan.
“Adalah lebih sukar bagi seseorang untuk memeriksa gerabak yang bergerak daripada yang berhenti, ” kata Clarke. “Sistem yang dicadangkan ini boleh ‘melihat’ keseluruhan kenderaan yang lalu-lalang dan melalui pemprosesan imej, mungkin dapat menemui keadaan yang tidak jelas kepada pemerhati manusia di sepanjang trek.” – AP
