Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norma baharu dalam sistem kehakiman, perundangan syariah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2020 yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin, secara dalam talian.

    Dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), persidangan membawa tema ‘Aplikasi Maqasid Al-Syar’iyyah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu Dalam Sistem Kehakiman Dan Perundangan Syariah’.

    Persidangan secara dalam talian tersebut berlangsung di Tingkat 2, Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan dihadiri oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar selaku wakil dari Negara Brunei Darussalam sebagai peserta dan pembentang kertas kerja bertajuk ‘Aplikasi Maqasid Syar’iyyah Dalam Penggubalan Kanun Hukuman Jenayah Syariah: Kronologi dan Gambaran Keseluruhan’.

    Turut hadir ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pegiran Haji Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Hassan bin Haji Metali dan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias.

    Persidangan dimulakan pada sebelah pagi dengan ucaptama bertajuk ‘Maqasid al-Syar’iyyah’ oleh Syeikh Ali al-Qaradaghi sebelum majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

    Pembentangan kertas-kertas kerja diteruskan pada sebelah petang dan dimulakan dengan pembentangan kertas kerja dari Negara Brunei Darussalam dan seterusnya oleh negara-negara yang dijemput pada persidangan ini iaitu Singapura, Indonesia dan Malaysia.

    Antara objektif persidangan tersebut adalah bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman Syariah berdasarkan pengalaman terkini negara-negara Nusantara yang boleh dimanfaatkan secara kolektif khususnya setelah pandemik COVID-19 pada Mac 2020.

    Tujuan persidangan tersebut juga adalah bagi meningkatkan kerjasama antara negara-negara yang mengambil bahagian. Persidangan ini menjadi platform kepada perkembangan dalam bidang kehakiman dan perundangan Syariah yang bersifat fleksibel mengikut perkembangan dan keperluan semasa.

    Wakil-wakil dari Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri ketika menghadiri persidangan secara dalam talian tersebut. – Gambar serahan Mahkamah Rayuan Syariah
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda