Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Normal baharu di padang golf

    Oleh AK Zaki Kasharan

    Setelah sekitar dua bulan hampir kesemua aktiviti dan kegiatan sukan terpaksa dihadkan manakala beberapa lokasi serta kemudahan sukan di negara ini seperti gim, gelanggang badminton, tenis, kolam renang dan termasuklah padang golf juga terpaksa ditutup berikutan penularan wabak COVID-19 yang mula menjejaskan negara ini pada bulan Mac 2020 yang lepas.

    Bukan sekadar tempat-tempat sukan sahaja yang terjejas berikutan penularan wabak berkenaan di negara ini, tempat hiburan seperti panggung wayang juga turut terjejas dan diarahkan untuk memberhentikan operasinya. Sementara itu restoran dan gerai di seluruh negara juga diarahkan untuk hanya menawarkan perkhidmatan bawa pulang bagi mengelakkan penularan wabak terkawal.

    Alhamdulillah setelah melihat penurunan kes dan kes sifar turut dicapai dalam tempoh beberapa ketika, beberapa langkah-langkah penjarakan sosial ini turut dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Antaranya kebenaran pembukaan gim, dan beberapa lokasi dan kemudahan sukan tertentu selain kebenaran untuk makan di restoran-restoran, pembukaan masjid secara berperingkat-peringkat dan fasa bagi solat fardu Jumaat dan sebagainya.

    Salah seorang peminat tegar sukan golf tanah air, Awang Muhammad Hariz bin Hasim ketika ditemui baru-baru ini turut berkesudian mengongsikan dan seterusnya menjelaskan perasaan serta segala prosedur yang harus dijalaninya pada ketika ini sebelum dan semasa beliau bermain golf.

    Perasaan  gembira dan teruja jelas sekali tergambar di wajahnya apabila mendengarkan pengumuman kebenaran untuk kembali bermain golf bersama rakan-rakannya lain. Walau bagaimanapun beliau menjelaskan apa yang paling penting adalah Negara Brunei Darussalam diharap akan dapat bebas daripada wabak COVID-19 dan secara tidak langsung sedikit demi sedikit ‘restriction’ terhadap segala aktiviti-aktiviti di negara ini akan dapat di’uplift’.

    Muhammad Hariz ketika membuat pukulan di salah sebuah padang golf di negara ini.
    Pada kebiasaannya dibolehkan sehingga empat orang pemain dalam satu kumpulan (flight) tetapi pada ketika ini hanya dua orang pemain saja.
    Suasana tenang di salah sebuah padang golf di negara ini meskipun langkah-langkah sekatan sudah dilonggarkan.

    “Perbezaan sangat terasa kerana dulunya bermain golf kebiasaannya dibolehkan sehingga empat orang pemain dalam satu kumpulan (flight) tetapi pada ketika ini hanya dua orang pemain saja yang dibenarkan pada satu flight permainan,” jelas Muhammad Hariz lagi.

    Selain itu sebagai langkah pencegahan dan berhati-hati, mereka juga tidak dibenarkan untuk menggunakan dan berkongsi buggy dengan pemain lain. Oleh kerana kelab golf baru sahaja dibukakan semula, permintaan untuk bermain golf sangatlah tinggi dalam kalangan pemain-pemain golf di negara ini, maka untuk mendapatkan slot kini menjadi sukar dan amat mencabar, katanya.

    Oleh itu, semua pemain golf di negara ini dinasihatkan bersabar dan bertimbang rasa antara satu dan yang lain serta haruslah bersyukur kerana sukan golf kembali dibukakan semula walau dengan garis pandu dan syarat-syarat ketat yang dikenakan semata-mata untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita bersama, nasihatnya lagi.

    “Para pemain golf tanah air sangatlah bersyukur kerana dengan usaha dan disiplin masyarakat negara ini, kita telah pun melihat banyak usaha-usaha yang telah pun dibuat oleh semua masyarakat dan pihak kerajaan agar wabak COVID-19 ini tidak menular dan akan dapat dibendung dengan cepat dan efisien.

    “Kita semua juga sangat bersyukur dengan tindakan kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan yang berkaitan lainnya kerana dengan usaha dan tindakan kerajaanlah kita dapat meneruskan lagi aktiviti-aktiviti seperti sebelumnya secara berperingkat-peringkat.

    “Semoga dengan adanya perkembangan ini, kita akan lebih bersemangat untuk membantu kerajaan dalam sama-sama membendung penularan wabak ini,” tambahnya lagi.

    Beliau pada kesempatan yang sama, turut berdoa dan berharap agar semua pemain golf tanah air tidak akan mengambil upliftment on golf activities ini sambil lewa dan akan sentiasa mengikut garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan serius serta tidak mengambil ringan mengenai risiko jangkitan COVID-19 ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda