KOTA KINABALU, 31 MEI – Lazimnya, Sugandoi Kaamatan atau pertandi-ngan nyanyian diadakan secara besar-besaran dan penuh meriah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, setiap kali sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri.
Kesemua peserta dari seluruh pelosok Sabah yang terpilih ke pertandingan peringkat negeri akan berkumpul di dewan itu bagi beradu suara sekali gus memperlihatkan bakat nyanyian di pentas akhir.
Bagaimanapun, Sugandoi Kaamatan peringkat akhir pada tahun ini agak berbeza susulan pandemik COVID-19 apabila ia dianjurkan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook KDCA dan Era Sabah, kata Evaristus Gungkit ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Evaristus yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Sugandoi dalam talian peringkat Sabah 2020, berkata pertandingan akhir berlangsung mulai 8 malam ini akan menyaksikan 10 peserta akhir bagi kategori terbuka dan tujuh peserta kategori Dazanak atau bintang kecil.
“Kesemua peserta akhir akan mempersembahkan nyanyian mereka dari rumah masing-masing. Barisan juri akan menilai persembahan peserta dari rumah. Peserta akan membuat persembahan nyanyian secara langsung menggunakan aplikasi Zoom dan akan disiarkan menerusi (laman) Facebook KDCA dan Era Sabah,” katanya.
Evaristus berkata Sugandoi Kaamatan secara dalam talian itu adalah julung kali diadakan bertujuan meneruskan tradisi pertandingan nyanyian sempena Pesta Kaamatan sekali gus memeriahkan lagi sambutan pesta menuai dalam suasana normal baharu sesuai dengan keadaan serta situasi pada masa sekarang. – Bernama