Bertemu bagi memperbaiki hubungan, kata-kata yang dituturkan oleh pelakon Norman Hakim berjaya melembutkan hati bekas isterinya iaitu Abby Abadi.
Menurut Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, Norman juga secara terbuka mengakui kesilapannya sebelum ini selepas mereka bercerai sejak 17 tahun lalu.
“Ada satu ayatnya yang membuatkan saya rasa bersalah. Dia terima sahaja apa yang saya katakan, dia minta maaf kerana terkhilaf sehingga saya jadi begini.
“Katanya buatlah apa sahaja dan dia terima sebab saya telah melahirkan anak-anak kami. Itu yang membuatkan sya sedih,” ujarnya.
Abby berkongsi perkara tersebut dalam satu sesi siaran langsung di laman TikTok menjawab pertanyaan pengikut akan masalah yang berlaku antara mereka, lapor mStar.

Sedar akan silap sendiri, Abby berkata dia banyak berkongsi tentang kisah mereka sebelum ini di media sosial kerana mahu memberi kesedaran buat Norman.
“Saya salah dan minta maaf. Selama 17 tahun saya tidak pernah bercerita.
“Saya geram sebab dia sudah kaya dan lupakan anak-anak. Saya mahu sedarkan dia. Cuma silap besar saya berkongsi,” ujarnya.
Tambah pelakon ini meskipun sudah lama bercerai namun hubungan mereka masih baik seperti sahabat.
Malah kedua-duanya juga tidak kekok untuk meluangkan masa bersama meskipun sudah berkahwin lain dengan pasangan masing-masing.
“Ada satu benda yang memang tak boleh buat kami berjauhan. Dalam tempoh 17 tahun kami berbaik sampai sekarang.
“Ia seperti kawan baik yang tiba-tiba bergaduh dan diminta berpisah… memang tak boleh,” luahnya.
Abby sebelum ini secara terbuka mendedahkan kisah rumah tangga yang pernah berlaku sebelum dan selepas dia bercerai dengan Norman.
Antara perkara yang pernah disebut adalah menjadi mangsa keganasan rumah tangga selain mengabaikan nafkah anak.
Segala perkongsian itu bagaimanapun telah dipadam apabila Norman mengadakan pertemuan dengan Abby pada Sabtu lalu. – Agensi