Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norrie tumpaskan Alcaraz

    RIO DE JANEIRO, 27 FEB – Pemain tenis Britain, Cameron Norrie mengambil kesempatan ke atas Carlos Alcaraz yang cedera untuk memenangi Kejohanan ATP Tour Terbuka Rio kelmarin.

    Pemain pilihan kedua, Norrie bangkit setelah ketinggalan di set pertama untuk merangkul kejuaraan kelima dalam kariernya, dengan menang 5-7, 6-4, 7-5 dalam masa dua jam 40 minit.

    Kemenangan Norrie hadir tujuh hari selepas pemain nombor 13 dunia Britain itu tewas kepada pemain ranking kedua Sepanyol, Alcaraz dalam perlawanan akhir Terbuka Argentina di Buenos Aires.

    Setelah tamat permainan, Alcaraz dihimpit kebimbangan kecergasan baharu selepas pertarungan itu menyaksikannya memerlukan rawatan fisioterapi.

    Pemain berusia 19 tahun itu, yang hanya kembali bermain tenis minggu lalu di Argentina selepas direhatkan kerana kecederaan selama empat bulan, jelas bergelut dengan sakit hamstring semasa peringkat akhir perlawanan akhir kelmarin.

    Cameron Norrie menjulang trofi selepas perlawanan akhir perseorangan kejohanan Terbuka ATP 500 Rio di Kelab Joki di Rio de Janeiro, Brazil. – AFP

    Dia memerlukan balutan pada paha kanannya pada pertengahan set kedua, apabila dia rebah ketika mendahului 3-0 sekali gus membenarkan Norrie merampas set tersebut dan menyamakan kedudukan.

    Alcaraz dijadualkan beraksi di Terbuka Mexico di Acapulco minggu depan dan selepas itu Indian Wells Masters di California pada awal Mac.

    Bekas pemain nombor satu dunia itu nampaknya mengawal permainan selepas memenangi set pertama dengan pukulan depan untuk mematahkan Norrie buat kali pertama dalam perlawanan itu.

    Dia mendahului 3-0 dengan satu lagi servis cemerlang pada set kedua dan kelihatan membina momentum seterusnya.

    Bagaimanapun, Alcaraz kemudian bergelut kembali dengan pahanya yang sakit menyaksikan Norrie mendahului 4-3. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda