Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Norris azam beri saingan

    SPIELBERG BEI KNITTELFELD, 27 JUN – Lando Norris berhasrat untuk menjadi pemusnah parti hujung minggu ini apabila dia menentang pendahulu siri dan juara dunia Formula Satu tiga kali, Max Verstappen di Grand Prix Austria di rumah pasukan Red Bull itu.

    Selepas beberapa siri keputusan yang memberangsangkan termasuk dua tempat kedua berturut-turut di belakang pemandu Belanda itu, pemandu McLaren tersebut ingin mengurangkan defisit 69 mata dalam perlumbaan kejuaraan.

    Pemuda Inggeris berusia 24 tahun itu percaya dia mempunyai jentera dan keyakinan untuk meraih kemenangan secara berterusan dalam perlumbaan seterusnya.

    “Kami berada pada tahap yang terbaik dan kami berlumba dengan baik,” kata Norris, sambil menambah dia berasa kecewa dengan kesilapannya sendiri.

    “Saya perlu memperbaiki beberapa perkara kecil dan kami akan berada di atas. Saya yakin. Setiap hujung minggu yang kami lalui sekarang, jentera kami menunjukkan prestasi yang sangat baik dan kami sentiasa berada di sana, atau hampir, dalam masa beberapa persepuluh,” katanya.

    Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal memenangi perlumbaan dari petak pertama dalam Grand Prix Sepanyol Ahad lalu selepas menewaskan Verstappen dalam pusingan kelayakan.

    Sejak memenangi Grand Prix Miami pada bulan Mei, Norris telah meningkatkan prestasinya untuk menjadi saingan utama rakan baiknya dalam merebut gelaran juara.

    Dia telah menamatkan perlumbaan dengan jarak empat saat atau kurang daripada Verstappen di Imola, Montreal dan Barcelona, di mana dia memanjangkan rekod ini kepada 10 saat dalam 23 perlumbaan terakhir.

    Bagaimanapun, dia dan McLaren tahu bahawa Verstappen akan bersaing dengan sengit dan bermotivasi oleh pasukan ‘tentera oren’ yang padat di trek di mana dia mendominasi perlumbaan pada tahun lalu ketika dia menyerlahkan keunggulannya sepanjang musim berkenaan. – AFP

    Gambar bertarikh 23 Jun 2024 menunjukkan Verstappen diekori oleh Norris semasa perlumbaan Grand Prix Sepanyol di litar Barcelona Catalunya di Montmelo, Sepanyol. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...