Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norris juara GP Miami

    MIAMI, 4 MEI – Lando Norris dari pasukan McLaren memenangi perlumbaan pecut yang penuh dengan aksi kelam-kabut di Grand Prix (GP) Miami, menewaskan pendahulu yang juga rakan sepasukan, Oscar Piastri, dalam perlumbaan yang tertangguh akibat hujan lebat.

    Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala pemandu muda Itali berusia 18 tahun, Kimi Antonelli, yang bermula di petak utama untuk jentera Mercedes, menduduki tempat ke-10.

    Antonelli kehilangan kedudukan pendahulu di selekoh pertama apabila Piastri memaksanya keluar dari lorong dan apabila dia kembali ke litar, dia telah turun ke tangga keempat.

    Perlumbaan bermula selepas ditangguhkan selama 25 minit akibat hujan lebat yang menjejaskan pusingan formasi.

    Pemandu Ferrari, Charles Leclerc terbabas semasa pusingan formasi merempuh dinding selepas terbabas.

    Lando Norris menjulang trofinya semasa Sprint menjelang Grand Prix F1 Miami di Autodrom Antarabangsa Miami pada 3 Mei. – AFP

    Semasa perlumbaan, Fernando Alonso merempuh pengadang selepas dipotong oleh Liam Lawson dan Carlos Sainz turut terhempas.

    Terdapat insiden perlanggaran di lorong hentian apabila Max Verstappen dari Red Bull keluar ke laluan Antonelli. Pelumba dari Belanda itu dikenakan penalti 10 mata kerana ‘keluar dengan cara tidak selamat’, menyebabkan dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

    Norris, yang juga memenangi GP Miami tahun lalu, keluar dari lorong hentian hanya sedikit di hadapan Piastri dan dibantu oleh perlumbaan yang berakhir di bawah kereta keselamatan selepas kemalangan membabitkan Fernando Alonso.

    “Nampaknya nasib saya di Miami agak baik buat masa ini, jadi saya gembira,” kata Norris.

    “Kelajuan kami masih sangat baik tetapi perlumbaan sebegini amat sukar. Awda boleh pilih untuk masuk petak hentian awal seperti Lewis, atau terus kekal di luar dan berharap adanya kereta keselamatan. Saya lebih suka jika ini berlaku esok, tetapi saya terima sahaja,” tambahnya selepas kemenangan itu mengurangkan jurang mata antara dirinya dan Piastri dalam kedudukan pemandu daripada sepuluh kepada sembilan mata.

    Piastri, yang memulakan perlumbaan dengan agresif dan menguasai kebanyakan pusingan, meluahkan kekecewaan kerana tidak berpeluang bangkit semula menjelang akhir perlumbaan dan kini menumpu kepada kelayakan Sabtu depan.

    “Saya dah buat segalanya dengan betul. Rasa kecewa bila sekadar di tempat kedua, tapi itulah lumrah sukan permotoran kadang-kadang kejam. Harap-harap tuah berpihak pada saya dalam sesi kelayakan nanti dan perlumbaan esok,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda