Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norris muncul juara GP Mexico, jadi pendahulu F1

    MEXICO CITY, 27 OKT – Pelumba McLaren, Lando Norris melakar kejayaan gemilang di Grand Prix Mexico kelmarin untuk muncul pendahulu baharu Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1), lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Bermula dari petak utama, Norris mempamerkan aksi mantap sepanjang perlumbaan yang penuh drama bagi meraih kemenangan pertamanya sejak Grand Prix Hungary pada Ogos lalu. Kemenangan itu juga membolehkannya memintas rakan sepasukan, Oscar Piastri, di tangga teratas kejuaraan.

    Piastri yang memulakan saingan di petak ketujuh berdepan perlumbaan sukar sebelum menamatkan aksi di tempat kelima, selepas tergelincir ke kedudukan kesembilan pada pusingan pembukaan.

    Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala juara bertahan Max Verstappen dari Red Bull di tempat ketiga, sekali gus merekodkan enam podium berturut-turut dalam usahanya mempertahankan gelaran dunia.

    Kejayaan itu meletakkan Norris satu mata di hadapan Piastri dalam kedudukan keseluruhan, sementara Verstappen kini ketinggalan 36 mata di belakang pendahulu baharu itu.

    Piastri gagal menaiki podium dalam empat perlumbaan berturut-turut, membolehkan Norris dan Verstappen merapatkan jurang mata dalam perebutan kejuaraan.

    Aksi seterusnya bakal berlangsung di Grand Prix Brazil hujung minggu depan, melengkapkan siri tiga perlumbaan berturut-turut musim ini. – Bernama/dpa

    Lando Norris menjulang trofi di podium di sebelah Charles Leclerc dan Max Verstappen selepas memenangi Grand Prix Formula Satu Mexico City di litar lumba Hermanos Rodriguez di Mexico City kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda