MONZA, 1 SEPT – Lando Norris memberikan dirinya peluang besar untuk terus merapatkan jurang kejuaraan Formula Satu dengan Max Verstappen selepas meraih petak pertama di Grand Prix (GP) Itali, kelmarin.
Norris, yang ketinggalan 70 mata dalam kedudukan pemandu, mencatat masa satu minit 19.327 saat dalam kedudukan satu-dua bersama rakan sepasukan Oscar Piastri, manakala Verstappen dari Red Bull ketinggalan hampir tujuh persepuluh saat di tempat ketujuh.
Pemandu Britain itu memperoleh petak pertama keempatnya musim ini, dan kedua berturut-turut, dengan jentera yang kelihatan mampu mengulangi kejayaan seperti di Grand Prix Belanda minggu lepas, di mana dia menang dengan jarak hampir 23 saat di hadapan juara tiga kali, Verstappen.
Prestasi dominan daripada Norris dan Piastri adalah berita baik buat McLaren yang kini hanya ketinggalan 30 mata di belakang Red Bull dalam senarai kedudukan.
“Satu lagi petak pertama yang menakjubkan. Untuk dua kereta berada di tempat pertama dan kedua ketika persaingan begitu sengit sepanjang hujung minggu adalah satu kejutan, namun menggembirakan,” kata Norris.
“Pusingan saya bukanlah pusingan terbaik. Jadi sedikit terkejut pada akhirnya, tetapi sangat gembira.”
Masalah Verstappen berlarutan dengan pemandu Belanda itu mengadu tentang masalah stereng dan kurang cengkaman di atas permukaan tar baharu di Litar Temple of Speed.
Pemandu berusia 26 tahun itu gagal memenangi mana-mana daripada lima GP terakhir, hanya menduduki dua podium, selepas memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan pertama.
George Russell akan duduk di barisan kedua untuk Mercedes bersama pemandu Ferrari dan Charles Leclerc manakala Lewis Hamilton berada satu tempat dan 0.509 saat di depan Verstappen dalam Mercedes kedua.
Hamilton berlumba buat kali terakhir di Monza sebagai pemandu Mercedes dan peminat Ferrari akan berminat untuk melihat prestasi pelumba berusia 39 tahun itu pada hari ini menjelang perpindahannya ke Scuderia pada akhir tahun ini. – AFP