Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Dayang Norsabariah binti Haji Abdul Mutalip baru-baru ini berjaya mengharumkan Negara Brunei Darussalam apabila beliau bersama 29 orang pendaki, yang berasal dari Malaysia antaranya dari Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur, Sepitang, Kota Kinabalu dan Labuan, telah berjaya tiba di Puncak Gunung Trus Madi, Tambunan, Sabah.
Dayang Norsabariah ketika ditemui menyatakan, walaupun beliau seorang yang giat aktif dalam aktiviti mendaki gunung, namun ia masih tidak terlepas dalam mengharungi pelbagai cabaran kerana ia menguji tahap kecergasan fizikal serta mental.
Sebelum mengadakan mana-mana pendakian yang memakan masa yang panjang, beliau juga akan membuat latihan sendiri dan mendapat rehat secukupnya serta mempunyai pemikiran positif untuk mencapai ke puncak gunung.
Sementara itu, gunung ini merupakan gunung kedua tertinggi di Malaysia dengan ketinggiannya 2,642 meter dari paras laut dan pendakian mereka memakan masa kira-kira enam hingga tujuh jam.
Pendakian di luar negara ini diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pendaki-pendaki dari dalam dan di luar negera serta mengamalkan gaya hidup sihat.
