Friday, January 3, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norway ekstradisi lelaki dikehendaki Rwanda

    COPENHAGEN, DENMARK, 22 SEPT – Seorang lelaki yang ditangkap di Norway dan dikehendaki oleh Rwanda atas tuduhan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Afrika pada 1994, kini boleh dihantar pulang, kata pihak polis Norway hari ini.

    Lelaki berusia 40an itu, yang tidak dikenal pasti identitinya, telah ditangkap di ibu negara Norway, Oslo hampir setahun yang lalu berdasarkan permintaan ekstradisi oleh Kigali.

    Mahkamah Daerah Oslo telah memutuskan pada 19 September bahawa lelaki tersebut boleh diekstradisi secara sah ke Rwanda, menurut pihak polis. Kini terpulang kepada Kementerian Keadilan negara Scandinavia itu untuk memutuskan sama ada dia akan dihantar pulang, yang dianggap sebagai formaliti.

    Thea Elise Kjaeraas, jurucakap bagi Perkhidmatan Siasatan Jenayah Kebangsaan Norway (KRIPOS), telah menyatakan bahawa mereka telah melakukan ‘beberapa penyiasatan untuk memastikan sama ada syarat-syarat ekstradisi telah dipenuhi.’

    “Kami mengambil perhatian bahawa Mahkamah Daerah berkongsi penilaian KRIPOS bahawa syarat-syarat ekstradisi telah dipenuhi,” kata Kjaeraas.

    Pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994 menyaksikan kira-kira 800,000 orang terbunuh, yang berlaku selama tiga bulan apabila ahli kumpulan etnik Hutu menyerang minoriti Tutsi, menyembelih mereka dan sejumlah kecil puak Hutu yang cuba melindungi mereka. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda