Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Norway terima pesakit dari Gaza

    LONDON, 27 JUN – Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store hari ini mengesahkan bahawa negara Nordik itu akan menerima dan merawat warga Palestin yang cedera dari Semenanjung Gaza, lapor agensi Anadolu memetik media tempatan.

    Norway akan turut serta dalam usaha antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin yang amat memerlukan rawatan hospital, menurut saluran media VG.

    Pengumuman itu dibuat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama EU menyatakan bahawa 9,000 warga Palestin perlu dipindahkan bagi rawatan segera menjelang akhir 2024, di tengah-tengah serangan Israel ke atas Gaza.

    Selain itu, Norway akan menyumbang kepada pesawat bagi mengangkut pesakit Palestin ke negara lain.

    “Dengan cara ini, kami dapat membantu lebih ramai orang berbanding yang mampu kami bawa ke Norway untuk mendapatkan rawatan,” kata Store kepada VG.

    Jonas Gahr Store semasa berucap pada Sidang Kemuncak Keamanan di Ukraine di Obburgen, Switzerland pada 16 Jun. – AP

    Perdana menteri berkata kerajaan memutuskan bahawa sehingga 20 pesakit dengan ahli keluarga dari Gaza boleh diterbangkan ke Norway untuk menerima rawatan di hospital Norway.

    “Situasi kemanusiaan di Gaza adalah malapetaka. Sistem kesihatan telah runtuh. Oleh itu, perkara paling penting yang Norway boleh lakukan adalah menyokong kerja kesihatan dan kemanusiaan di Gaza dan kawasan sekitarnya,” kata Store.

    Bulan lalu, Norway secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

    Organisasi kesihatan dan PBB pada Disember lepas memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan di Gaza telah runtuh. Hanya 12 daripada 36 hospital di Gaza beroperasi sebahagiannya, menurut laporan terkini.

    Lebih 37,700 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 86,400 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...