NEWCASTLE, 1 DIS – Penyerang Norwich, Teemu Pukki berjaya menghalang Newcastle United untuk melakar kemenangan sulung pada musim ini selepas Norwich terikat 1-1 di St James’ Park semalam, namun mensia-siakan peluang untuk menambah derita The Magpies yang diambang penyingkiran.
Newcastle terpaksa bermain dengan 10 pemain selama lebih 80 minit ekoran layangan kad merah ke atas Ciaran Clark selepas mengasari Pukki.
Walau bagaimanapun, Norwich gagal memanfaatkan kelebihan dan ketinggalan 1-0 selepas Callum Wilson berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah satu jam perlawanan berlalu.
Pukki menjadi penyelamat Norwich selepas berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan voli 11 minit sebelum perlawanan tamat dan Norwich sepatutnya meraih tiga mata penuh pada masa penamat apabila Martin Dubravka menyelamatkan percubaan Pierre Lees-Melou.
Harapan musnah buat kedua-dua pasukan yang berkongsi satu mata selepas Leeds berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace sekali gus melonjak lima mata keluar dari kedudukan tiga tercorot.
Newcastle kini enam mata dari zon selamat dan berusaha untuk bertahan sebelum jendela perpindahan dibuka pada Januari. – AFP
