Lebih 25 tahun mencipta nama dalam industri hiburan, penyanyi bersuara lunak yang cukup sinonim dengan irama jaz, Noryn Aziz mahu keluar dari kepompong genre yang selama ini membentuk identitinya.
Mengakui jaz tetap menjadi genre paling dekat di hatinya, penyanyi berusia 48 tahun itu berasakan sudah tiba masa untuk dirinya tampil lebih versatil dan mempamerkan sisi berbeza dalam kerjayanya.
“Sepanjang kerjaya, memang saya sering mendapat permintaan menyanyikan lagu jaz, contohnya di majlis jadi dah melekat dan orang kata serasi sangat-sangat.
“Tapi bila dah lama dalam industri saya rasa tak sepatutnya melabelkan karier dalam satu genre sahaja kerana saya dah pernah buat pop rock, pop, jaz. Malah, dalam satu pertandingan baru-baru ini saya dah tampilkan sisi serba boleh,” katanya dalam program Show Buzz terbitan Bernama Radio baru-baru ini.
Justeru, menerusi konsert This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung pada 12 September ini di Auditorium DBKL, penyanyi bersuara emas itu dijangka menyanyikan lebih 20 lagu dalam pelbagai genre, sekali gus meraikan perjalanan kerjayanya lebih dua dekad sebagai penyanyi.
Menurut Noryn, persembahan itu bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu penceritaan visual dan emosi tentang perjalanan seninya, daripada seorang pelajar muzik menjadi penyanyi jaz profesional dan hingga kini seorang penghibur matang yang lebih yakin dengan identiti sendiri.
“Saya nak kongsi bukan saja lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan, tetapi rasa hati dan emosi saya sebagai seorang wanita. Mungkin ada cerita peribadi yang saya tak pernah kongsi di media sosial, tapi pada malam itu nanti semuanya akan dizahirkan melalui lagu,” katanya penuh jujur.
Menambah kelainan, Noryn turut akan mempersembahkan single terbaharunya berjudul Kaki Kiriku yang bakal dilancarkan hari ini, sebuah lagu yang cukup unik dengan elemen tongue twister atau pematah lidah yang diselitkan secara kreatif ke dalam melodi. – Bernama


