KUALA LUMPUR, 2 Mac – Jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei perlu lebih menumpukan pada kejohanan besar dalam misinya untuk memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos ini, kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei yang baru pulih daripada kecederaan juga perlu lebih berhati-hati dalam setiap kejohanan yang disertainya.
“Saya harap beliau tidak terburu-buru supaya beliau betul-betul pulih dan mengambil kira kejohanan ini melibatkan cabaran sengit daripada pemain-pemain bertaraf dunia,” kata Norza, di sini.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri forum ‘The Champion’s Blueprint’ kendalian Dr Jeff Spencer sempena Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ALYA WTA di TPC Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, Chong Wei yang mengalami kecederaan ligamen lutut kiri sejak awal bulan lepas, mengesahkan penyertaannya pada Kejohanan All England di Birmingham dari 7 hingga 12 Mac ini.
Beliau dilaporkan menerima kebenaran daripada doktor, pakar fisioterapi Institut Sukan Negara Sandra Fiedler serta jurulatih untuk beraksi di All England kali ini walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan itu.
Pemain nombor satu dunia itu yang disenaraikan pilihan utama perseorangan lelaki pernah meraih juara All England pada edisi 2010, 2011 dan 2014. – Bernama