(Siri 1)
Oleh Ugan Brunei –
Aku terasa terlentang di atas katil. Bau yang ku hidu seolah-olah menjana kenangan silamku. Ku capai telefon bimbit, ku lihat jam baru 6:15 petang. Tak lama lagi azan Maghrib bakal berkumandang.
Namun badan terasa lemah, ku cuba bangun namun ku tidak terasa sensasi pada kaki kiriku.
Baru aku teringat yang empat jam lepas, aku disorong ke bilik pembedahan. Dua doktor bedah berusaha menyelamatkan kaki kiriku dari serangan bisul carbuncle sebesar bola golf yang tumbuh di atas buku lali.
Sebelum pembedahan, begitu menyakitkan, tapi setelah diinjek bius, langsung tidak terasa sakitnya.
Jururawat di kaunter yang ku tanyakan memberikan maklumat yang pembedahan itu baru yang pertama dan ada dua lagi yang perlu dilalui. Kaki kiriku dalam balutan bandage dan hanya akan dibuka balutannya oleh doktor dua hari lagi.
Ku tunggu saja, tapi yang pasti aku mungkin akan berada di wad lebih lama dari yang diduga.
27 Februari 2022, hari Ahad, aku dihantar ke Bahagian Kemalangan & Kecemasan Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) oleh Mohamad Zulhilmi, anak tiriku hasil dari isteriku sekarang dan bekas suaminya.
Anak angkatku, Mohamad Norsyazwan, turut menghantar namun peranan langsung kedua mereka sampai di sana saja, semuanya disebabkan oleh Rumah Sakit RIPAS pada waktu itu dikenakan zon merah, melarang keras pengunjung.
Pengunjung dan penjaga bagi pesakit langsung tidak dibenarkan masuk, jauh sekali berjumpa. Namun begitu, aku hanya mampu berhubung dengan dunia luar secara voice call dan video call telefon bimbit.
Jika ada kehendak untuk minta hantarkan barang, orang luar dihadkan untuk menempatkan barangan tersebut pada staf keselamatan yang ditempatkan di pintu masuk utama, dan ianya dihantar dengan troli kepada pesakit oleh para sukarelawan yang diambil bertugas oleh Kementerian Kesihatan.
Sempatku minta hantarkan tasbih, sikat rambut, ubat-ubatan, minuman vitamin C1000, pakaian harian dan sekali-sekala akhbar Borneo Bulletin manakala kredit top up Easi nombornya dihantar melalui SMS, sayangnya kredit digunakan masih laju berkurang sebab ketiadaan wifi dan internet di wad.
Beginilah yang berlangsung selama 63 hari, iaitu 9 minggu, dari sambutan Israk Mikraj, Malam Nisfu Syaaban, Awal Ramadan serta Nuzul Al-Quran, semuanya diraikan secara peribadi dan istiqamah.
Mulanya di Wad 12 selama 16 malam, kemudian dipindahkan ke Wad 15 secara solitary treatment (rawatan perseorangan) sebagai langkah untuk mengelak dari jangkitan susulan pada kaki kiriku dan ku berada di sana untuk selama 34 malam, satu pengalaman yang menginsafkan.
Keluarga dan sahabat-handai tidak dibenarkan untuk mengunjungi ku dan hanya doktor, jururawat dan atendan saja tempat bersua-muka dan curhat setiap hari.
Sempat juga mengalami satu episod sedih di mana pesakit bilik sebelah menghembuskan nafas terakhirnya kebetulan pada waktu syuruk hari pertama Ramadan dan terdengar tangisan dari para jururawat serta penjaga khas kepada pesakit Allahyarham yang berusia hampir tujuh siri.
Disebabkan aku menjalani rawatan berterusan 24/7, para doktor saran dan nasihat supaya tidak berpuasa sepanjang Ramadan tersebut dan mengqadhanya setelah beberapa bulan keluar dari rumah sakit uintuk memastikan keberhasilan proses penyembuhan pasca pembedahan.
Dalam pada itu, rasa empati dan simpatiku terarah pada keluarga yang ku tinggalkan di rumah sewa kerajaan di Jalan Sungai Hanching Baru dan juga di Madewa.
Yang lebih terasa, isteriku yang secara kebetulan terjangkiti wabak COVID-19 dan terpaksa mematuhi protokol berkurung di rumah, dilarang kemana-mana, selama 10 hari.
Nasib baik stok makanan dan minuman masih cukup untuk menampung kebajikannya, anak-anaknya serta Mohd Norsyazwan untuk selama dua minggu.
Beliau juga terpaksa tidur berseorangan setiap malam, mendengar radio, menatap telefon bimbit sambil berhubungan dengan dunia luar. Beliau juga diberi cuti serta merta dua minggu sementara menunggu kod BruHealth bertukar dari merah ke kuning dan ke hijau.
Ada peluang berehat sehingga sembuh, namun situasi berseorangan menambah keperitan sakit yang dihidapinya.
Alhamdulilah, COVID-19 cuma sepintas lalu ketika itu dan walaupun dilanda dua kali lagi, sistem imun sudah bersedia dan lebih kebal menentang varian baharu, Alhamdulilah.
Nasib baik juga, telefon bimbit menjadi alat amat penting untuk berhubung apabila terpisah oleh jarak dan wabak, sebagai cara mengubat rindu dendam.