KUANTAN – Ketika kebanyakan masyarakat hari ini memilih sukan seperti boling, badminton, atau mendaki sebagai aktiviti riadah hujung minggu untuk merehatkan minda atau mengeratkan hubungan keluarga dan jiran, situasi berbeza dapat dilihat di Taman Desa Mesra, Permatang Badak, terletak 11.7 kilometer dari pusat bandar ini.
Komuniti di kawasan perumahan ini memilih untuk memanfaatkan permainan tradisional seperti lastik, atau lebih dikenali sebagai bidas, sebagai medium untuk mengukuhkan ukhuwah sesama penduduk.
Dengan menganjurkan Pertandingan Bidas Taman Desa Mesra, mereka berhasrat mengembalikan kegemilangan permainan tradisional yang pernah popular pada era 60-an.
Menurut penganjur, Razmi Wahab, 61, permainan lastik bukan sekadar aktiviti riadah tetapi juga usaha untuk memulihara khazanah warisan negara yang semakin dilupakan.
“Dulu, lastik sering digunakan untuk membidik buah atau menghalau haiwan perosak di kebun. Namun, sejak zaman teknologi dengan pelbagai gajet canggih, permainan ini bagaikan dipinggirkan. Kami di sini sepakat untuk merancakkan semula minat terhadap permainan ini, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang tidak pernah mencubanya,” katanya kepada Bernama.
Razmi tidak menyangka pertandingan yang diadakan pada awal November lalu mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 180 peserta. Paling muda berusia 10 tahun, manakala peserta paling tua berusia 70 tahun.
Pertandingan yang memerlukan peserta melastik tin dari jarak 25 meter itu menyaksikan golongan dewasa banyak membimbing peserta muda untuk menguasai teknik melastik yang memerlukan kemahiran.
“Setiap peserta diberi lima biji guli atau batu sebagai peluru, dan pemenang ditentukan berdasarkan jumlah tin yang berjaya dijatuhkan.
“Melihat sambutan menggalakkan, kami bercadang menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan, mungkin dengan melibatkan permainan tradisional lain pada masa hadapan,” jelas Razmi anak jati Kelantan ini.
Bagi peserta termuda, Mohd Qayyum Norhakim, 10, pengalaman menyertai pertandingan ini cukup menyeronokkan dan dia berhasrat mengajak rakan-rakannya bermain lastik bersama selepas ini.
Sementara itu, peserta paling tua, Sofi Jusof, 70, menyifatkan permainan lastik bukan sekadar riadah tetapi mampu melatih fokus dan koordinasi seseorang.
“Dengan mengaktifkan kembali permainan ini, anak-anak kita tidaklah hanya terperap di rumah dengan telefon pintar. Mereka dapat berinteraksi dan bermain bersama rakan sebaya, sekali gus membantu meningkatkan fokus mereka,” katanya.
Setiausaha Persatuan Pelastik Rekreasi Pahang, Mohd Hafezee Halim berkata aktiviti lastik, atau terbey dalam kalangan masyarakat utara, telah diiktiraf sebagai sukan rekreasi oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 2023.
“Setakat ini, terdapat tiga persatuan rasmi untuk peminat lastik di Malaysia, termasuk Persatuan Pelastik Rekreasi Pahang, Kelab Peminat Lastik, dan Slingshot Legacy Club (SLC). Permainan ini juga mendapat perhatian antarabangsa, seperti pertandingan slingshot di China pada Oktober tahun lalu yang disertai lapan negara,” katanya.
Sementara itu, Profesor Kehormat, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Malaya, Prof Dr Hanafi Husin, memuji usaha komuniti Taman Desa Mesra ini yang menghidupkan semula permainan tradisional di kawasan bandar.
“Permainan tradisional seperti lastik bukan sekadar riadah, tetapi ia juga membentuk sahsiah, kemahiran, dan permuafakatan. Dengan teknologi yang semakin maju, kita perlu berusaha memastikan warisan budaya ini terus hidup,” katanya.
Dr Hanafi turut menegaskan bahawa terdapat 28 jenis permainan tradisional di Malaysia yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara. Namun, banyak permainan ini kini jarang didengar, apatah lagi dimainkan oleh generasi muda.
“Permainan tradisional membantu membina persahabatan dan strategi, baik secara individu mahupun berkumpulan. Kehilangannya boleh memberi kesan kepada aspek komunikasi dan pembangunan jati diri generasi muda,” katanya sambil berharap usaha melestarikan permainan tradisional akan terus diperkasakan oleh Jabatan Warisan dan institusi berkaitan. – Bernama