GOLONGAN individu yang membesar pada era sekitar tahun 1980-an setentunya mengenali karakter popular, Donkey Kong yang pernah mencetuskan satu fenomena khususnya para pemain bagi platform Nintendo.
Kini, Retro Studios, Monster Games dan Nintendo kembali bekerjasama dalam menerbitkan siri terbaharu, Donkey Kong Country: Tropical Freeze yang merupakan siri kelima dalam siri Donkey Kong Country.
Permainan video yang menampilkan konsep platform ini menampilkan aksi Donkey Kong bersama dengan rakan-rakannya harus berusaha untuk menyelamatkan kembali Pulau Donkey Kong setelah ia ditawan oleh sekumpulan penjahat dikenali sebagai Snowmad diketuai oleh Lord Fredrik.
Keceriaan bertukar duka
Dalam keceriaan suasana di Pulau Donkey Kong sewaktu majlis sambutan hari jadi monyet gagah bernama Donkey Kong itu yang diraikan bersama dengan teman-temannya tanpa di duga salah satu daripada belonnya telah terlepas dan terbang tinggi.
Ternyata kelibat belon yang terbang tinggi itu berjaya menarik perhatian sekumpulan penjahat terdiri daripada pelbagai binatang burung hantu, penguin, naga dan walrus dikenali sebagai Snowmad.


Dari situ, Snowmad telah mula mengatur langkah untuk melancarkan serangan ke arah Pulau Donkey Kong yang telah lama menjadi sasaran kepada mereka.
Donkey Kong dan rakan-rakannya yang kelihatan bergembira ternyata berasa cukup terkejut apabila seekor naga telah melancarkan kuasa salji daripada mulutnya sekaligus membekukan sebahagian besar daripada pulau tersebut.
Pada detik itu jelas memulakan keadaan huru-hara di pulau tersebut sehingga memaksa Donkey Kong dan rakan-rakannya harus berusaha menyelamatkan diri.
Di kawasan persembunyian, mereka telah melakukan pelbagai rancangan strategik untuk mendapatkan semula Pulau Donkey Kong yang mereka cintai daripada terus ditawan oleh pihak penjahat tersebut.
Bersatu mengecapi kejayaan
Pemain akan mengawal karakter utama dalam permainan video ini, Donkey Kong yang berusaha dalam melakukan kembara yang turut dibantu dan disokong oleh rakan-rakannya yang memiliki kuasa tersendiri.
Dari situ, Donkey Kong dan rakan-rakannya harus mengembara ke seluruh lima buah pulau sebelum berpeluang untuk merebut kembali Pulau Donkey Kong.
Pada dasarnya, Donkey Kong yang dikawal oleh pemain berupaya untuk mengumpulkan keseluruhan bahan yang ditemui sambil menyerang pihak musuh yang sentiasa berusaha untuk menghalang laluan yang direntasi oleh karakter utama tersebut.
Di samping itu, dia turut dibantu oleh beberapa rakannya seperti Dixie Kong dan Cranky Kong yang memiliki kuasanya tersendiri.

Dixie Kong berupaya untuk memutarkan rambutnya yang diikat seperti ekor kuda itu dan membantu Donkey Kong untuk melakukan aksi penerbangan ke arah kawasan yang lebih tinggi atau sukar untuk dicapai.
Sementara Cranky Kong pula berupaya untuk menggunakan tongkatnya untuk menghapuskan beberapa kawasan bahaya seperti kawasan berduri malah juga turut membantu dalam meringankan beban Donkey Kong ketika melakukan serangan terhadap pihak musuh.
Dalam keseronokan pemain melakukan aksi pengembaraan tersebut, jangan terlepas untuk memenuhkan meter Kong-POW bagi memberi peluang bagi Donkey Kong dan rakan-rakannya untuk melancarkan kuasa istimewa yang dapat membantu dalam melakukan serangan pada pihak musuh dengan lebih cepat dan berkesan.
Di samping itu, pemain juga berpeluang untuk menukarkan barangan yang dikumpulkan dan ditemui di sepanjang kembara tersebut kepada Funky Kong untuk mendapatkan beberapa barangan berharga seperti kuasa halimunan dan sebagainya.
Terdapat juga beberapa elemen yang turut menguji minda pemain apabila mereka dikehendaki untuk menyelesaikan teka-teki dan bekerjasama bagi membantu untuk membawa pemain mara ke peringkat bonus dan sebagainya.
Mod Time Attack dalam permainan video ini pula menawarkan konsep permainan secara rank bersama dengan pemain lain.
Manakala, Funky Mode yang baru diperkenalkan pula membolehkan pemain untuk mengawal karakter Funky Kong sebagai karakter utama.
Justeru, sekiranya pemain teruja untuk melalui sebuah kembara mencabar ini maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Donkey Kong Country: Tropical Freeze yang dikeluarkan untuk platform Nintendo Switch.